Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 7,373 kes baharu positif COVID-19 pada Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keseluruhan kes positif sejak wabak COVID-19 melanda negara adalah 2,339,594 kes.

Sementara itu, kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk rakyat Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula Isnin, 11 Oktober 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan keputusan itu, rakyat Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong dan sebagainya.

"Alhamdulillah, menurut KKM kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.

"Bagaimanapun data terkini akan dikemaskini di sesawang COVIDNOW pada tengah malam ini.

"Sehubungan itu, kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran PDRM," katanya dalam sidang media khas pada Ahad.