Seorang pegawai penyelidik undang-undang di sebuah firma guaman memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa beliau tidak pernah nampak Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali menguruskan bayi di rumah tersebut, sebaliknya menyerahkannya kepada tiga penghuni rumah berkenaan.

Suhana Zam, 40, berkata sepanjang berada di kondominium di Wangsa Maju milik Siti Bainun atau keluar dengan wanita itu, tiga penghuni rumah berkenaan iaitu Aida, Yasmin serta Balqis yang memandikan serta menukar lampin pakai buang dua bayi, Tulus Jiwa dan Tulus Bael.

"Saya sendiri pernah tengok Tulus Jiwa masa kecil ada masalah alergi kulit, dia bukan bayi yang aktif tetapi dia boleh mengesot dan dia mengesot bawah meja hampir lebih sejam, tiada siapa peduli

"Tulus Bael pula selalu cedera, contohnya ada satu malam dia dibiarkan bermain-main sendiri sehingga jatuh dan mulut berdarah serta menangis, apabila Aida, Yasmin dan Balqis pujuk dia senyap, lepas itu biarkan dia (Tulus Bael) bermain dan jatuh di tempat yang sama serta berdarah. Budak-budak ini tidak ada penjagaan yang baik kerana kejadian ini berulang dan berlaku dalam masa yang singkat," katanya.

Saksi pendakwaan kelapan itu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad pada perbicaraan kes Siti Bainun.

Suhana berkata beliau pernah menasihatkan Siti Bainun agar tidak berkasar dengan budak-budak di rumah tersebut contohnya cara wanita itu mencium Tulus Bael.

"Saya sendiri nasihat Siti Bainun apabila nampak dia buat sesuatu yang tidak betul, contohnya dia cium Tulus Bael sampai berbekas, saya tegur 'jangan buat macam tu Nun (Bainun) sakit tu. Siti Bainun cakap 'budak sindrom tak rasa sakit'.

"Saya tengok balkoni (rumah) tak selamat, ada letak meja tinggi dan kerusi. Saya tegur kalau budak-budak panjat jatuh nanti, Siti Bainun jawab 'tak apa kak mereka tak panjat," katanya.

Saksi itu berkata beliau yakin Bella tidur di bilik dobi kerana pernah melihat Siti Bainun bersama Bella ke bilik berkenaan dan wanita itu kembali semula ke ruang hadapan tanpa Bella selain remaja sindrom Down itu juga tidak pernah dilihat bermain di ruang tamu bersama kanak-kanak lain.

Sumber: Bernama