Malaysia mencatatkan jumlah kes harian COVID-19 tertinggi iaitu sebanyak 7,857 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini meningkat kepada 541,224.

Daripada jumlah kes yang dikesan hari ini, 2,675 dikesan di Selangor diikuti Kelantan (754) dan Sarawak (772), kata Dr Noor Hisham menerusi sosial media Facebook dan Twitter yang terbaharu pada Khamis.

Sementara itu Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memberitahu, seramai 937,756 individu telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan setakat semalam.

Dr Adham menerusi akaun Twitternya hari ini, berkata seramai 1,667,280 individu telah menerima dos pertama, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 2,605,036 dos setakat semalam.

Setakat semalam, 46.60 peratus atau 11,314,494 individu mendaftar untuk menerima suntikan vaksin dengan Selangor terus mencatat jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 3,003,753 orang.

Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lepas melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.