Berita
Kes Influenza Paling Tinggi Kalangan Pelajar Di Selangor
Kes wabak influenza melibatkan pelajar sekolah terus menyaksikan peningkatan hari ini dengan bilangan tertinggi kes 717 dicatatkan di Selangor menurut laporan Astro Awani.
Di Selangor , Pengarah Pendidikan Negeri (JPN) Dr Mahanom Mat Sam yang mengesahkan jumlah itu berkata jangkitan tersebut direkodkan di 248 sekolah membabitkan 10 daerah setakat hari ini.
Beliau berkata daerah yang mencatatkan kes tertinggi adalah Petaling Perdana dengan 185 kes diikuti Klang (143), Petaling Utama (102) dan Sepang (84).
"Kesemua kes yang dilaporkan telah menerima rawatan di klinik dan hospital berhampiran dan pelajar dilaporkan stabil.
"Mereka yang menerima rawatan di wad dan dipantau hospital, juga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selain diberi cuti rehat selama tiga ke tujuh hari," katanya dan menambah buat masa ini tiada kelas dan sekolah ditutup di negeri itu.
Influenza merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selesema, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini memaklumkan vaksin influenza ditawarkan hospital kerajaan hanya kepada golongan berisiko tinggi seperti pesakit dengan penyakit kronik serta golongan dengan daya ketahanan yang rendah.
Sementara orang awam yang ingin mendapatkan suntikan vaksin influenza juga boleh mendapatkan suntikan berkenaan di fasiliti kesihatan swasta.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya mengambil beberapa langkah kawalan penularan wabak tersebut antaranya mengasingkan pelajar yang mempunyai tanda jangkitan sebelum menghubungi ibu bapa untuk mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital.
Selain itu, pelajar juga diingatkan untuk mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dengan amalan kerap membasuh tangan dengan air bersih dan sabun atau pencuci tangan, mengamalkan adab batuk yang baik dan mengamalkan cara hidup yang sihat.
Sumber: Astro Awani