HIBURAN
Kes Khalwat: Aliff Aziz & Ruhainies Dipercayai Sudah Bayar Denda RM3,000 Setiap Seorang?
Penyanyi Aliff Aziz dan pelakon Ruhainies dilaporkan sudah membayar denda sebanyak RM3,000 setiap seorang berhubung kes khalwat pada 9 Mac lalu.
Menurut sumber, denda tersebut diputuskan menerusi prosiding yang berlangsung pada Jumaat lalu di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Perseketuan, Kuala Lumpur namun ia berlangsung tanpa pengetahuan pihak media.
Sebelum ini media melaporkan Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Perseketuan, Kuala Lumpur menetapkan 20 dan 27 Februari ini bagi perbicaraan kes khalwat antara Aliff dan Ruhainies.
Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz menetapkan tarikh berkenaan selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan tarikh yang dicadangkan.
Bagaimanapun, teman media yang hadir ke mahkamah, pada Khamis lalu dimaklumkan perbicaraan ditangguhkan dan punca penangguhan itu tidak dapat dipastikan.
Malah kelibat kedua-dua selebriti sensasi itu termasuk peguam mewakili mereka tidak kelihatan di mahkamah.
Tinjauan paparan senarai kes yang dibicarakan di dewan bicara berkaitan pada Khamis lalu juga tidak tertera nama Aliff mahupun Ruhainies.
Sementara itu, peguam syarie mewakili kedua-dua selebriti terbabit, Abdul Hadi Mohamad Salleh tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan pengesahan berkenaan perbicaran kes itu.
Terdahulu, pada prosiding 3 Julai lalu, Aliff dan Ruhainies mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan berhubung kes khalwat pada 9 Mac lalu ketika pertuduhan dibacakan.
Pertuduhan terhadap mereka didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 27 (b) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pada 20 Jun lalu, Aliff dan Ruhainies hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi proses lanjutan bon jamin terhadap kes khalwat yang dilaporkan berlaku di sebuah kondominium mewah, di sini, di ibu negara pada 9 Mac lalu.
Selepas dibawa ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk disoal siasat, Aliff dan Ruhainies dibebaskan dengan jaminan kira-kira jam 2 petang pada hari sama.
Sebelum ini, media melaporkan artis berstatus suami orang dan pasangannya, seorang pelakon wanita, dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah, di sini.
Tangkapan dibuat JAWI adalah berdasarkan maklumat awam. Pasangan selebriti yang sibuk menjalani penggambaran drama itu, dilapor ditahan di kediaman milik pelakon wanita berkenaan.
Must-Watch Video