Berita
Kes Koronavirus Pertama Di Malaysia, Tiga Warga China Ditahan Di Hospital Sungai Buloh
Tiga warga China yang memasuki Malaysia dari negeri Johor disahkan positif ujian pengesanan koronavirus (2019-nCoV).
Mereka terdiri daripada seorang wanita warga emas berusia 66 tahun serta dua cucunya masing-masing berumur 11 tahun dan dua tahun.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Zulkefly Ahmad berkata, mereka kini ditahan di Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan lanjut.
"Untuk makluman, tiga kes yang dikesan positif melalui ujian yang dijalankan oleh MKAK (Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan) adalah isteri dan dua orang cucu kepada kes pertama di Singapura.
"Mereka kini dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan selanjutnya dan kesemuanya berada dalam keadaan stabil.
"Manakala lain-lain kontak yang dikesan adalah negatif bagi 2019-nCoV," katanya pada sidang media khas di kementeriannya hari ini.
Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata kerajaan akan membincangkan langkah seterusnya terutama berkenaan cadangan menyekat kemasukan pelancong dari China ke negara ini.
Pada masa sama, katanya Kementerian Kesihatan juga telah mengaktifkan pasukan Rapid Response Team (RRT) dan Rapid Assessment Team (RAT) bagi menjalankan aktiviti pengesanan kontak di lapangan.
Terdahulu, seorang rakyat negara ini yang baru pulang dari Wuhan, China diasingkan di Hospital Kuala Lumpur bagi tujuan pemantauan.
Sumber: Awani