“Kes Makin Naik, Hospital Penuh, Ambulans Tak Cukup…” - Mimi Lana Mohon Jangan Takut Vaksin
Mya Amri
16/07/2021 03:45 MYT
16/07/2021 03:45 MYT
Pelakon Mimi Lana berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama dalam membantu negara untuk memerangai COVID-19 yang semakin meningkat ketika ini.
Menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagram miliknya, Mimi atau nama sebenarnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin momohon orang ramai tidak menuding jari atau menyalahkan satu sama lain.
Mimi berpendapat, ketika negara sedang melalui saat getir ini adalah lebih baik sekiranya dapat menyebarkan kesedaran tentang kepentingan vaksinasi.
“Selesai kerja saya hari ini. Sejujurnya hari ini saya nak keluar bekerja, saya sangat takut memikirkan kes yang banyak setiap hari.
“Dalam kepala ini macam-macam saya fikir. Tetapi bila saya bayangkan penat lelah petugas barisan hadapan yang bertarung dengan pesakit COVID-19, sejak pandemik ini, saya gagahkan diri juga keluar untuk membantu.
“Saya berharap sangat kita semua dapat selesaikan dua dos vaksin secepat mungkin. Setiap hari kes makin naik.
“Hospital dah penuh, ambulans pun tak cukup. Sekarang ini bukan masa kita nak bergaduh atau salahkan sesama sendiri.
“Gantikan perasaan itu dengan cara berikan kesedaran kepada semua orang untuk daftar, pergi vaksin dan alert dengan temu janji vaksin mereka. Ini sahaja cara untuk membantu negara kita yang tengah tenat sekarang ini,” coretnya.
Dalam hantaran yang sama juga, Mimi turut mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada rakyat Malaysia yang sudah menerima vaksin.
“Kepada yang risau tentang orang tua anda untuk divaksin, jangan risau kami di sini semua sedia membantu dan menjaga mereka.
“Saya nak ucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua yang telah di vaksin. Saya sangat bangga dengan anda semua. Semoga urusan kita dipermudahkan,” tulisnya.
Untuk info, Mimi sebelum ini pernah berkongsi pengalaman menjadi sebahagian daripada sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, Selangor.
Selain Mimi, beberapa selebriti lain yang turut menjadi sukarelawan PPV adalah Aniq Suhair, Daiyan Trisha, Fizo Omar, Nazim Othman, Sherry Alhadad dan Amelia Anderson.