Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Kes Pembunuhan Zayn Rayyan: Ibu Bapa Ditahan Reman 7 Hari - KP Selangor

Awani
01/06/2024 02:12 MYT
Ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin ditahan reman tujuh hari mulai hari ini berhubung kes pembunuhan kanak-kanak autistik itu pada Disember lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memberitahu Astro AWANI, perintah reman ke atas kedua-dua suspek dikeluarkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Katanya, tangkapan ke atas mereka adalah berdasarkan risikan sejak hari pertama kejadian.

“Mereka ditahan berpandukan risikan sejak hari kejadian sehingga sekarang,” katanya di sini hari ini.

Pada 5 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan dilaporkan hilang sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai, keesokan harinya.

Hasil siasatan forensik dan patalogi Hospital Sungai Buloh, pihak polis mengesahkan kanak-kanak berusia enam tahun itu mati akibat kesan kecederaan pada leher dan badan kerana mempertahankan diri.

Setakat Januari lalu lebih 225 individu sudah dirakam percakapan selain 248 sampel DNA milik penduduk dan orang terdekat diambil bagi tujuan siasatan.

Sebelum ini polis menegaskan tidak pernah berhenti menjalankan siasatan kes kematian kanak-kanak autistik itu dan sehingga kini kes itu tidak pernah ditutup.

Tambahnya, siasatan berkaitan kes itu masih aktif dan pihaknya sentiasa menanti petunjuk baharu.

AWANI

#Kes Bunuh #Bunuh #Ditahan #Polis #Autisme #Ibu Bapa #Zayn Rayyan
;