Jenama perabot IKEA mengumumkan cawangan di Damansara ditutup buat sementara mulai hari ini.

Tindakan itu dilakukan susulan beberapa kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan kakitangannya serta pihak vendor perkhidmatan.

Pihak IKEA memaklumkan perkara itu menerusi kenyataan di akaun Facebook rasmi sebentar tadi.

Menurut pihaknya, kes-kes tersebut dikesan menerusi ujian saringan rutin yang dijalankan syarikat itu.

Bagaimanapun jumlah kakitangan yang didapati positif dan butiran tentang tarikh terakhir mereka berada di cawangan itu tidak dijelaskan.

“Kami dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pagi tadi untuk menutup kedai kami mulai hari ini sehingga diberitahu kelak untuk menjalankan pengesanan kontak rapat dan melakukan kerja sanitasi mengikut standard KKM.

“Kami akan terus melaksanakan langkah keselamatan dan mengikut nasihat mereka termasuk mengubah pekerja dari pihak vendor perkhidmatan, pengesanan kontak, ujian swab, kuarantin untuk kontak rapat serta kerja sanitasi.

“Pelanggan yang dipercayai kontak rapat kepada kes positif akan dihubungi oleh pegawai kesihatan awam.

“Kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan kesemua pelanggan, rakan sekerja, rakan kongsi dan komuniti adalah keutamaan kami.

“Kami akan terus bekerjasama dengan pegawai kesihatan awam dan memastikan semua langkah-langkah pencegahan diambil di semua cawangan,” jelas pihak IKEA.

IKEA Damansara, 2 Jan 2021: Following one of our scheduled routine tests, we are sad to announce we have confirmed...

Posted by IKEA on Friday, 1 January 2021

Sebelum ini, IKEA Damansara pernah ditutup sementara pada 7 November 2020 selepas seorang pekerja sambilan disyaki positif COVID-19.