Pihak pendakwaan telah menyerahkan dua laporan perubatan berkaitan kes rogol yang melibatkan pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atau lebih dikenali sebagai Da'i Syed.

Memetik laporan Harian Metro, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Baizura Mohd Saubian mengatakan perkara semasa kes tersebut disebut semula di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rihaida Rafie hari ini.

Menurut beliau, pihaknya telah menyerahkan dua dokumen perubatan dari Hospital Shah Alam dan Hospital Temerloh kepada pihak pembelaan.

"Bagaimanapun satu lagi dokumen perubatan dari Hospital Kajang dan satu laporan kimia masih belum diserahkan dan akan diberi kepada pihak pembelaan dalam masa terdekat," kata Nor Baizura.

Dalam pada itu, peguam Syed Amirul Syed Edros mengesahkan telah menerima kedua dokumen perubatan berkenaan dan sebutan semula kes telah ditetapkan oleh mahkamah pada 5 Mei 2021.

Pada 10 Disember tahun lalu, Da'i Syed, 25, mengaku tidak bersalah merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah kondominium di Seksyen 7, Shah Alam pada 11.35 malam, 11 September 2019.

Syed didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Selain itu, Syed juga didakwa mencabul kehormatan seorang pelajar wanita yang menuntut di kolej swasta di Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas kesalahan melakukan seks luar tabii terhadap mangsa sama.

Kedua-dua kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di rumah sewa tertuduh yang terletak di Damansara Perdana pada 17 Oktober tahun lalu.

Sumber & Kredit Foto : Harian Metro