Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menetapkan 15 Jun depan sebagai tarikh akhir untuk serahan dokumen lanjutan dalam kes salah laku seksual didakwa membabitkan pendakwah selebriti Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful.

Hakim Jamaludin Man menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid memberitahu, terdapat dokumen belum diserahkan kepada pihak pembelaan.

Dalam kes ini membabitkan laporan perubatan. Dokumen lain sudah diserahkan kecuali laporan tersebut belum diberi kepada pihak pembelaan," katanya.

Perkara itu turut diakui oleh Syed Amirul Syed Edros yang mewakili Syed Shah Iqmal.

Sebelum ini Mahkamah Majistret membenarkan kes cabul dihadapi oleh pendakwah selebriti itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen selepas Majistret Muhammad Iskandar Zainol membenarkan permohonan daripada pihak pendakwaan untuk memindahkan kes dari Mahkamah Majistret ke Mahkamah Sesyen.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun yang juga penganggur di sebuah rumah di Seksyen 7 di sini, pada jam 11.35 malam, 11 September 2019.

Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, atas pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap seorang wanita yang juga penuntut kolej swasta berusia 22 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Damansara Perdana antara jam 3 pagi hingga 4 pagi pada 17 Oktober 2020.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, pendakwah tersebut didakwa atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud hendak mencabul kehormatannya di tempat, waktu dan tarikh sama.


Sumber: Sinar Harian