Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Kes Saman Amelia & Penulis Skrip Drama Diteruskan, Aedy Ashraf Doakan Yang Terbaik - “Dia Wanita Cekal”

Mya Amri
08/08/2024 06:50 MYT
Pelakon, Aedy Ashraf mengambil maklum mengenai kes saman melibatkan seorang penulis skrip bagi sebuah drama terhadap aktres, Amelia Henderson yang masih lagi belum selesai.

Doakan yang terbaik buat Amelia

Walaupun sudah tidak mempunyai apa-apa hubungan istimewa namun Aedy mendoakan yang terbaik buat Amelia.

"Saya tahu mengenai perkara itu dan kami masih bercakap (mengenai isu itu) sebagai seorang kawan. Pada saya, sentiasa mendoakan yang terbaik buat Amelia.

"Saya tak ada nak cakap apa-apa cuma saya harap kemenangan dan keadilan akan berpihak kepada Amelia,” ujarnya.

Aedy berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis Wrap Party Kahar Kapla High Council bertempat di Six In The City, Petaling Jaya pada Rabu.

Cekal harungi dugaan

Dalam pada itu, Aedy memaklumkan dirinya yakin Amelia mampu untuk mengharungi dugaan yang dihadapi ini memandangkan dia seorang wanita yang kuat dan cekal.

"Apabila sesuatu perkara yang tidak diingini dan perkara-perkara yang tak dapat nak dielak seperti ini berlaku. Sudah tentu saya berasa simpati dengan Amelia.

"Tetapi saya tahu, dia adalah seorang wanita yang sangat kuat dan cekal untuk menghadapi segala apa yang terjadi pada dia ketika ini.

"Dan saya yakin, satu Malaysia sedang mendoakan segala urusan dia dipermudahkan,” katanya.

Terbuka bekerja dengan Amelia

Ketika ditanya mengenai hubungannya dengan Amelia, Aedy berkata dia masih lagi berhubung sebagai seorang kawan dan terbuka untuk bekerjasama di masa akan datang.

"Kami masih berkawan seperti biasa dan tiada masalah untuk saya bekerjasama dengan Amelia di masa akan datang,” ulasnya.

Terdahulu, kes saman penulis skrip drama 'Sekali Lagi Cinta Kembali' iaitu Rehal Nuharis terhadap Amelia diteruskan selepas proses mediasi yang diadakan di Pusat Mediasi Mahkamah Kuala Lumpur pada petang Rabu gagal diselesaikan secara baik.

Difahamkan, kedua-dua pihak tidak mencapai kata sepakat yang membabitkan syarat-syarat penyelesaian dalam proses mediasi yang dijalankan.

Susulan itu, kes saman akan diteruskan dengan perbicaraan yang akan bermula 6 dan 7 Februari 2025.

#saman #Aedy Ashraf #Penulis Skrip #Amelia Henderson
;