Peguam dilantik Siti Nordiana, Abang Azlan Abang Ariffin mengesahkan defendan dalam kes saman RM2.5 juta oleh penyanyi Siti Nordiana masih tidak diwakili peguam.

Mereka yang disebut sebagai defendan ialah Mohd Razlan Mohamed Yusof (Lan Solo), 36, isterinya, Nur Sheila Hassim, 36, Zuraidah Badron (Syura), 35, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 42.

Abang Azlan menerusi sebuah kenyataan berkata, semasa pengurusan kes yang dijalankan secara eReview pada Isnin lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengarahkan pihaknya selaku peguam plaintif iaitu Siti Nordiana untuk memfailkan afidavit penyampaian sebagai bukti serahan writ saman dan pernyataan tuntutan terhadap kelima-lima defendan itu.

“Semasa pengurusan kes yang dijalankan secara eReview pada 9/8/2021, Mahkamah telah mengarahkan peguam Plaintif untuk memfailkan Afidavit Penyampaian sebagai bukti serahan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan terhadap kelima-lima Defendan.

“Ini kerana kelima-lima Defendan tersebut masih tidak diwakili oleh peguam serta tiada Kehadiran dan Pernyataan Pembelaan yang difailkan oleh Defendan-defendan setelah Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan diserahkan kepada kesemua Defendan.

“Tarikh akhir untuk kelima-lima Defendan memfailkan Kehadiran dan Pernyataan Pembelaan adalah pada 17 Ogos ini.

“Mahkamah selanjutnya menetapkan 23 Ogos 2021 pada pukul 9.00 pagi sebagai tarikh Pengurusan Kes (eReview) yang baru dan untuk memaklumkan defendan-defendan mengenainya,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana Alias atau Nana, 37, memfailkan saman ke atas lima individu itu atas dakwaan memfitnahnya di platform media sosial menerusi sesi siaran langsung di Instagram.

Nana memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai lalu di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur.