Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Kes Saman RM200,000, Amelia Henderson Bakal Teruskan Pengurusan Rayuan Dengan A. Aida Pada 24 Julai Ini

Syafiqah Jalal
05/07/2023 03:38 MYT
Pelakon Amelia Henderson yang diperintah membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd, membabitkan kes saman pelanggaran kontrak sebuah drama, tahun lalu bakal teruskan pengurusan rayuan pada 24 Julai ini.

Perkara itu disahkan peguam Wan Nurliyana Abdul Rahman yang mewakili Amelia, 28, atau nama penuh, Amelia Thripura Henderson melalui prosiding yang dikendalikan dalam talian iaitu secara sistem 'e-review', pada Isnin.

"Hari ini (Isnin), cuma untuk dapatkan tarikh pengurusan kes baharu kerana alasan penghakiman belum siap.

"Tarikh seterusnya adalah pada 24 Julai ini," katanya kepada BH Online.

Pada 18 April lalu, Wan Nurliyana mengesahkan Amelia memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mahkamah Sesyen pada 7 April lalu memerintahkan Amelia membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada A Aida atau nama sebenar, Datuk Zaidah Awang menerusi syarikatnya, A Aida Production Sdn Bhd selepas membenarkan tuntutan saman syarikat itu terhadap pelakon berdarah kacukan India-Scotland itu.

Hakim Zulqarnain Hassan memerintahkan Amelia selaku defendan membayar ganti rugi am RM90,000; pemulangan bayaran pendahuluan selepas menandatangani kontrak perjanjian sebanyak RM3,920 dan RM101,325 bagi pembayaran kos penggambaran serta kos RM18,000 kepada Aida selaku plaintif.

Zulqarnain turut membenarkan permohonan Aida untuk mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Amelia daripada menerbitkan kenyataan fitnah sama terhadapnya selain pelakon itu perlu memohon maaf kepada plaintif di akaun Instagram (IG) @ameliath dan memadam video mengandungi kenyataan fitnah dalam tempoh tujuh hari bermula 7 April lalu.

Sumber: BH Online
;