Berita kematian seorang gadis berusia 19 tahun yang dibunuh kejam dalam kejadian di rumah mangsa semalam telah tular dan mengejutkan ramai pihak.

Rata-rata bagai tidak percaya mangsa yang pada mulanya disyaki hanya disamun itu kini disyaki dibunuh kawan perempuannya sendiri.

Lebih mengejutkan ia didakwa berpunca daripada isu perselisihan faham dengan rakan seusianya.

Bapa kepada mangsa, Allahyarham Siti Nur Surya, Ismail Muda, 58, berkata dia juga tidak menyangka gadis sebaya usia arwah dan dikenalinya sanggup mengambil tindakan kejam sedemikian jika benar dakwaan berkenaan.

“Betul ke dia yang bunuh?” tanyanya.

Katanya, pada masa sama, dia sudah menjangkakan pelakunya adalah wanita berdasarkan kesan tapak kaki kecil, tetapi tidak tahu identiti individu terbabit.

"Terdapat beberapa kesan tapak kaki berserta darah di atas lantai menuju pintu bilik, selain bedak yang ditabur pada pintu almari dipercayai bertujuan menghilangkan kesan cap jari.

"Arwah sudah lama tidak berkawan dengan (suspek) wanita terbabit, tetapi tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku sehingga membawa kepada pembunuhan," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Beladau Kepong, di sini, hari ini.

Ismail berkata, selepas kejadian semalam, isterinya, Zaini Musa, 55, ada bertanyakan di mana Siti Nur Surya yang mesra dipanggil kakak apabila mendapati ketiadaan 'peneman setia' itu.

"Dia bertanya kakak mana, dan saya hanya menjawab kakak demam," katanya.

Ketika ditanya sama ada isterinya tahu atau tidak dengan kejadian itu, Ismail berkata, dia sukar untuk menyatakan situasi berkenaan.

"Saya rasa dia (isteri) tidak tahu dengan apa yang berlaku. Pada zahirnya juga tidak nampak dia bersedih dengan apa yang berlaku, tetapi batinnya kita tak tahu," katanya.

Sumber: Harian Metro