Kes Shila Amzah-Amy Search: Polis Akan Panggil Dua Lagi Saksi
Polis akan memanggil dua lagi saksi bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung kes membabitkan selebriti Shila Amzah dan Datuk Amy Search.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kertas siasatan telah dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kuala Lumpur sebelum dirujuk ke TPR Putrajaya.
“Kemudian kita telah terima semula kertas siasatan itu. Ia selari dengan laporan yang dibuat oleh Datuk Amy. Kita akan ambil lagi keterangan dua saksi untuk lengkapkan kertas siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Isnin.
Sebelum ini, Shila memuat naik hantaran di akaun Instagram miliknya dengan meluahkan rasa kecewa dan trauma terhadap kejadian yang berlaku secara terbuka di hadapan kru produksi ketika sesi latihan konsert ulang tahun ke-20 MR DIY yang berlangsung di Stadium Merdeka.
Shila atau nama penuhnya Nurshahila Amir Amzah telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 10 Julai lalu.
Siasatan polis kemudian mendedahkan punca kejadian disebabkan rasa tidak puas hati penyanyi lagenda berkenaan terhadap pengadu yang didakwa mencampuri urusan masalah keluarganya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam kes berlainan, polis giat mengesan saki-baki ahli geng penjenayah samun bersenjata api dan pecah rumah yang ditembak mati di Cheras pada Jumaat lalu.
Mohamed Usuf berkata, beliau difahamkan terdapat kira-kira 34 kes membabitkan kumpulan terbabit.
“Banyak kes pecah rumah dan samun. Kita akan cari kuncu-kuncu geng terbabit,” ujarnya.
Dalam insiden tersebut, dua lelaki warga asing yang dipercayai dalang utama geng samun bersenjata api dan pecah rumah telah ditembak mati dalam Ops Aman 6 di Jalan Semerah Padi, Cheras.
Sumber: Sinar Harian