Berita
Kes Ustazah Merangkak: Ibu Pelajar Bersemuka, Mohon Maaf Sambil Berpelukan
Ibu kepada murid dari sebuah sekolah rendah di Perak telah tampil membuat permohonan maaf berhubung isu video tular ustazah merangkak sejak Selasa.
Menerusi perkongsian di Facebook rasmi Bagan Datuk Kini, kes tersebut telah berakhir dengan perjumpaan bersama ibu murid dan ustazah terbabit.
"Kes video viral 'ustazah merangkak' yang berlakui di Madrasah Ad-Diniah Islamiah, Bagan Datuk kini berakhir dengan perjumpaan ibu murid dan ustazah sekolah tersebut.
"Permohonan maaf telah dibuat dan mohon video kejadian tersebut tidak diviralkan bagi kebaikan kedua belah pihak.
"Semoga kejadian ini menjadi pengajaran, pedoman serta tauladan kepada pihak ibu bapa murid dan sekolah. Harap maklum," tulis pengendali akaun Facebook terbabit.
Beberapa keping foto perjumpaan terbabit turut dikongsikan dalam entri sama.
Video seorang ustazah yang diarahkan oleh seorang ibu kepada murid di madrasah berkenaan untuk merangkak keliling kelas sambil diperhatikan pelajar lain tular di media sosial.
Tindakan itu difahamkan kerana berang anak kepada ibu berkenaan cedera selepas didenda ustazah terbabit.
Sumber: Facebook Bagan Datuk Kini