BERITA

Kes Zara Qairina: 'Kak Wana, Kak Dedeng Dan Tomboi' Masih Bersekolah Di Situ, Tiada Kaitan VIP

Gempak 02/08/2025 | 05:25 MYT

Tiga pelajar yang merupakan antara 60 individu yang telah diambil keterangan oleh pihak polis berhubung siasatan kes kematian Zara Qairina Mahathir disahkan masih bersekolah di sekolah yang sama dan tidak dipindahkan ke institusi lain.

Malah, ketiga-tiga pelajar terbabit juga bukan anak kepada individu kenamaan seperti yang didakwa dan ditularkan oleh warga maya di media sosial sejak kebelakangan ini.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin memaklumkan bahawa tiada seorang pun daripada pelajar berkenaan diberhentikan daripada sekolah dan status mereka sebagai pelajar kekal seperti biasa.

"Semua pelajar itu masih bersekolah, tiada yang berhenti sekolah.

"Juga tiada kaitan dengan orang kenamaan (VIP) dan pihak polis," katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan akan menunggu hasil siasatan rasmi berhubung perkara itu.

Sebelum ini, tiga nama yang dikaitkan dengan kematian Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu yang terjatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar, telah didedahkan di media sosial.

Nama-nama tersebut dikenali sebagai ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’, yang mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan warga maya.

Kesemua individu berkenaan disahkan oleh pihak polis sebagai pelajar di sekolah terbabit dan telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung insiden yang menggemparkan itu.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu, dan insiden tragis itu mencetus kemarahan orang ramai selepas dakwaan timbul bahawa kematiannya mempunyai kaitan dengan perbuatan buli yang berlaku di sekolah berkenaan.

#Kes Buli #Zara Qairina #Kak Wana