VIRAL
Kes Zara Qairina: PM Jamin Tiada Siapa Akan Dilindungi
Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tidak ada sebarang perlindungan diberikan kepada mana-mana pihak terbabit atau pelaku dalam kes Zara Qairina Mahathir yang ditemui jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sehingga menggemparkan negara, baru-baru ini.
Perdana Menteri berkata, kematian bukan sebuah perkara yang dipandang ringan dan justeru itu, beliau menegaskan siasatan mendalam harus dilaksanakan oleh pihak berkuasa yang berkaitan dengan kadar segera.
"Baru-baru ini ada kematian (berkaitan kes Zara Qairina) dan Menteri Pendidikan diserang. Kematian ini bukan soal yang ringan. Anak petani miskin di Kundasang kalau mati, itu tanggungjawab kita bersama untuk cari... bukan tuduh sesiapa.
"Saya bicara terus dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail). "Dia (Mohd Khalid) kata kita buat siasatan segera, kita cari segala fakta dan selesaikan. Dia kata sudah 60 orang (saksi) diambil keterangan.
"Kita harus ingat ini bukan negara hukum, bukan negara fitnah. Siapa pun terlibat, tidak peduli siapa pun (sama ada berkaitan ) Tan Sri, Datuk Seri, menteri, anak menteri, kalau terlibat dalam jenayah, pembunuhan atau bersekongkol tidak akan diberi perlindungan. Tetapi jangan memfitnah," katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut difahamkan bahawa laporan lengkap daripada pihak polis berkaitan kes sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
"Tapi saya tidak campur (dalam urusan kes Zara Qairina). Saya tanya (kepada pihak berkaitan) supaya rakyat tahu," katanya.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video