Hiburan
Kesahihan Taraf Anak Dipertikai, Rita Rudaini Buat Laporan Polis
Pelakon Rita Rudaini telah membuat laporan polis terhadap pemilik akaun yang didakwa memfitnah status taraf kedua-dua anak lelakinya di Instagram, semalam.
Menurut Rita, dia terpaksa mengambil tindakan kerana komen yang ditulis oleh individu berkenaan bersifat keterlaluan serta menjatuhkan maruahnya sebagai ibu dan wanita yang pernah mendirikan rumah tangga.
"Saya terpaksa membuat laporan polis kerana komen individu itu keterlaluan. Sebelum ini, ada beberapa individu yang menghina dan menulis perkara yang tidak sepatutnya di Instagram.
"Namun, apabila ada yang menyentuh mengenai anak saya, itu sudah melampau," ujarnya.
Tambah Rita, dia meminta nasihat peguam sebelum membuat laporan polis.
"Individu tidak bertanggungjawab itu mempertikai kesahihan taraf anak saya dan apabila saya rujuk peguam, dia menyokong tindakan saya untuk buat laporan polis," katanya.
Dalam pada itu, Rita berpendapat bahawa selebriti lain perlu mengambil tindakan sebegini sekiranya perlu sebagai pengajaran buat warganet yang tidak bertanggungjawab.
"Sebelum ini Jasmin Hamid pernah mengambil tindakan sama apabila anaknya menjadi mangsa buli siber.
"Saya ingatkan selepas apa yang dilakukan Jasmin, ramai akan jadikan kes itu sebagai pengajaran.
"Rupa-rupanya, ada juga yang masih tak faham," katanya.
Menurut peguam Rita, Mohd Syakirin Syazwan Mohd Nayan, individu yang menggunakan nama akaun @ahmadsan81 di Instagram itu diberikan masa 14 hari dari pihaknya.
"Kami memberikan tempoh 14 hari dari hari ini untuk individu itu tampil bertemu Rita, membuat permohonan maaf secara terbuka dan bukannya menerusi media sosial.
"Sekiranya dia gagal berbuat demikian, tindakan selanjutnya akan diambil dan meneruskan saman," katanya.
Difahamkan, pihak Rita sudahpun mendapat maklumat peribadi yang lengkap tentang individu tersebut.
Rita telah membuat laporan polis di Balai Polis Kota Damansara hari ini.