Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

Kesal Gagal Kawal Nafsu, Bapa Anak Tiga Didenda Bercakap Lucah Dengan Pekerja Kedai

Awani 10/10/2023 | 02:55 MYT

Gara-gara mengeluarkan kata-kata lucah kepada pekerja kedai serbaneka Ogos lalu, seorang bapa tiga anak didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka pada Isnin.

Tertuduh, Affan Razali,31, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengeluarkan kata-kata lucah dengan niat mencabul kehormatan seorang juruwang wanita berusia 19 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai serbaneka di Taman Perindustrian, Tanjung Minyak Perdana, Melaka Tengah kira-kira pukul 4.14 pagi, 7 Ogos 2023 lalu.

Tertuduh yang bekerja sebagai pemotong rumput didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, mangsa mengadu kepada majikannya memaklumkan diganggu oleh salah seorang pelanggan sebelum mereka bertindak membuat laporan polis.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishar memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman itu diringankan dengan alasan dia menanggung isteri yang tidak berkerja dan tiga anak masih kecil.

Katanya, dia menyesali perbuatannya yang gagal mengawal nafsu ketika melihat tubuh badan mangsa sewaktu kejadian.

Majistret Nabilah kemudian menjatuhi hukuman denda RM2,500 atau tiga bulan penjara sekiranya tertuduh gagal melunaskan denda berkenaan.

Sumber - AWANI

#Bapa anak tiga #Bapa cakap lucah #Cakap lucah
;