“Kesian Dekat Warga Emas & Yang Duduk Flat” - Netizen Mahu Hukuman Berat Terhadap Pemilik Kilang Punca Masalah Air!
Kes gangguan bekalan air di beberapa wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor telah mencetuskan kemarahan penduduk.
Menerusi tinjauan Gempak di media sosial, rata-rata netizen mengambil pendekatan berbeza untuk mendapatkan air.
Ada diantaranya menginap di hotel di negeri lain dan tidak kurang juga yang cuba pulang ke kampung halaman demi mendapatkan air.
Namun begitu, tidak semua yang mampu lari daripada masalah tersebut.
Malah, susulan daripada kes reman empat lelaki yang juga pemilik kilang punca pencemaran air itu, rata-rata netizen mendesak supaya denda serta hukuman diberatkan.
“Mereka ni patut jatuhkan hukuman berat. Menyusahkan, kesian dekat warga emas dan mereka yang ada anak kecil.
“Tinggal pula dekat flat,” kata seorang netizen.
“Hukum mereka jangan mandi seminggu” kata seorang lagi netizen
Anda boleh lihat antara komen tersebut di bawah.
Terdahulu, menerusi Harian Metro, polis menahan empat lelaki pemilik kilang berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun dalam operasi bermula kira-kira 11 malam sehingga 12.30 tengah malam tadi.
Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin dilaporkan berkata, tangkapan dibuat di kediaman mereka dan ada yang ditahan selepas tampil di IPD Gombak.
Pada masa sama, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di Twitter memaklumkan, pelbagai pihak kini berusaha menghilangkan kesan pencemaran dalam sumber air itu.
Untuk rekod, tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihentikan.
Gangguan membabitkan wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.