Sebuah video tular pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan dengan beberapa buah kereta mendapat perhatian ramai.

Tidak ketinggalan, pengacara Iesya Toh tampil menghebahkan tentang keadaan sebenar beserta foto kenyataan media daripada pihak polis.

Individu yang berada di belakang kamera dalam video tersebut menyangka lelaki yang memandu lori itu mabuk hingga melanggar beberapa buah kereta di sekelilingnya.

Walhal, sangkaan itu tidak benar sama sekali kerana lelaki itu sebenarnya sedang menahan sakit dan tidak lama selepas itu, dia meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada hari sama.

"Bukan Mabuk, kes ini berlaku pada 3/1/2022 pada jam 12.45 PM di Sungai Buloh, pemandu treler telah melanggar tiga buah kereta.

"Pemandu hilang kawalan akibat menahan sakit jantung dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh. Pemandu telah meninggal dunia pada jam 2.10 PM," jelas Iesya menerusi akaun Instagramnya.

Menjengah ruangan komen entri tersebut, rata-rata netizen amat bersedih dan berasa kasihan akan arwah.

"Terus serang macam tu, kesian arwah," tulis netizen.

"Jiran saya kenal arwah, memang baik tak tinggal solat, moga suara dalam video ni mohon maaf," kata seorang lagi.

"Kesian kan tengok pakcik tu tahan sakit, dia difitnah, tapi tak mampu nak kata apa-apa, sedih tengok," luah seorang lagi wargamaya.

Dalam kenyataan media yang dikongsi, pihak Ketua Polis Daerah Sungai Buloh mengesahkan punca kematian arwah disebabkan serangan jantung selain meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi bagi menghormati waris keluarga si mati.

A post shared by Iesya_Toh 2 (@iesyatoh2)