Pemandu van tular di laman sosial semalam berikutan membuat pusingan U secara tiba-tiba sehingga menyebabkan kemalangan rupanya didapati memandu tanpa lesen yang sah.

Kejadian tersebut berlaku di Kilometer 59.7, Lebuh Raya Senai-Desaru (SDE).

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora, kejadian kira-kira jam 2.55 petang semalam dipercayai berlaku setelah van jenis Ford Econovan yang dipandu lelaki warga Myanmar berusia 33 tahun, membuat pusingan U di kawasan tidak dibenarkan.

Katanya, tindakan itu telah menyebabkan kereta jenis Honda HRV yang dinaiki wanita berusia 29 tahun bersama anak perempuannya dari arah Senai ke Desaru tidak sempat mengelak, lalu melanggar sebelah kiri van terbabit.

Akibat daripada kemalangan tersebut, kanak-kanak berusia dua tahun lebam di sebelah kiri mata dan calar di bahagian muka, manakala ibunya mengalami bengkak di mulut dan lebam di tangan kiri dan kanannya.

"Bagaimanapun, lelaki tersebut yang menuju ke Kilometer 60 lebuh raya berkenaan bagi menyambung kerja pemotongan rumput, tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya seperti yang dilapor Bernama.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Hussin berkata kereta terbabit mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan kanan kenderaannya, manakala van tersebut mengalami kerosakan pada bahagian kirinya.

"Pemandu van telah diambil keterangan dan dikenakan dua saman, masing-masing RM300 yang mana, satu di bawah Peraturan 13 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59) (kerana membuat pusingan U di kawasan tidak dibenarkan) dan kedua, tiada lesen memandu," jelasnya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Peraturan 13 LN 166 / 59.

Terdahulu, tular rakaman video kamera papan pemuka berdurasi kira-kira satu minit di laman sosial memaparkan sebuah van membuat pusingan haram, sekali gus mengakibatkan kemalangan serta turut disusuli bunyi tangisan kanak-kanak.

BERNAMA