Masalah liputan internet bukanlah satu perkara asing di negara ini.

Bukan hanya di kampung, beberapa kawasan di bandar juga tidak mendapat liputan yang sepenuhnya.

Malah, masalah ini lebih teruk apabila membabitkan kawasan di pedalaman.

Buktinya, seorang pelajar Insititut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berasal dari Kampung Sapatalang, Pitas, Sabah terpaksa memanjat pokok semata-mata untuk menjalani peperiksaan secara dalam talian.

Kesukaran pelajar jurusan Asasi Sains, Veveonah Mosibin, 18, itu dikongsi menerusi satu video di saluran YouTube miliknya .

Video '24 Hours On Tree' itu memaparkan kegigihan Veveonah yang memanjat pokok untuk membina pondok kecil yang hanya diperbuat daripada beberapa batang kayu yang dialas dengan kelambu.

"Saya ada bina pondok sebelum ni tapi sudah roboh. Jadi saya ambil keputusan untuk jawab peperiksaan atas pokok.

"Saya ada bawa telefon pintar, pengecas mudah alih (power bank), botol air, beberapa bungkus nasi serta peralatan peperiksaan," katanya.

Menurutnya, dia akan menjawab peperiksaan subjek Kimia sebelah pagi dan subjek Pengajian Malaysia pada sebelah petang.

"Malam ini saya akan tidur atas pokok ini sebab esoknya ada exam lagi," katanya.

Menjengah ke ruang komen, rata-rata warga maya dilihat bersimpati dengan nasib Veveonah.

Namun begitu, kebanyakan mereka juga kagum dengan semangat juang gadis ini yang tidak mudah berputus asa dalam pelajaran.

Anda boleh lihat video penuh Veveonah di bawah.