Penyanyi rock legenda, Datuk Awie mendedikasikan pembabitannya dalam filem animasi Didi & Friends The Movie sebagai hadiah buat anak keenamnya, Putra Ahmad Andeeka, 2 tahun.

Kata Awie Didi & Friends sangat siginifikan apabila di amula melibatkan diri dalam pembikinan filem animasi itu ketika isterinya hamil dan kini dilancarkan pada hari jadi anaknya itu.

"Saya menjayakan filem animasi ini ketika itu isteri sedang hamil anak keenam. Tak sangka selepas dua tahun ia dilancarkan pula ketika hari jadi anak saya.

“Jadi saya dedikasikan Didi & Friends The Movie ini khusus buat anak keenam saya, Andeeka, 2 tahun yang baru menyambut hari jadinya pada haris ama pelancaran," katanya kepada Astro Gempak.

Awie berkata demikian ketika sidang media majlis pelancaran Didi & Friends The Movie yang berlangsung di Panggung Asia, Jalan Gombak Kuala Lumpur pada Rabu.

Andeeka yang dilahirkan tanggal 18 Januari 2021 adalah anak Awie hasil perkongsian hidupnya dengan isteri, Datin Sharifah Ladyana Syed Samsuddin, 35.

Awie yang muncul sebagai watak cameo Tok Chip itu turut berkongsi cabaran pengalamannya menjiwai watak tersebut.

"Sebenarnya projek ini direalisasikan ketika pandemik Covid-19 melanda dan negara dan pada masa itu pula ia dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan.

"Jadi agak mencabar juga untuk menyiapkannya sehingga proses itu juga mengambil tempoh yang panjang iaitu selama setahun," katanya.

"Bagi watak Tok Chip ini saya hanya menggambarkan saja watak itu dari lukisan yang disediakan.

"Selain meminjamkan suara, saya juga perlu menyanyi untuk filem animasi ini," katanya.

Mengulas penampilan artis terkenal dalam projek filem animasi pula, kata Awie, jalan cerita Didi & Friends The Movie sudah memiliki tarikan tersendiri untuk menarik penonton.

"Insya-Allah, saya doakan filem ini berjaya kerana jalan ceritanya juga menarik. Penampilan artis pula untuk menyerikan filem animasi ini," katanya.

Filem muzikal 3D animasi pengembaraan Didi & Friends The Movie arahan Akmal Aziz Asmawi dan Roshfaizal Ariffin ini terbitan Warnakala Studios, Astro Shaw, Digital Durian dan MDeC.

Selain Awie, barisan artis yang turut terbabit dalam filem ini ialah Amelia Henderson, penyanyi rap Waris, dan artis veteran Ruminah Sidek.

Filem ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 23 Februari depan.