Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

“Ketika Itu Saya Seperti Diikat” - Hans Issac Perjelas Mengapa Mendiamkan Diri Sepanjang 4 Bulan Lalu!

Hanafis Haris 02/06/2020 | 10:27 MYT

Bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Hans Isaac terkilan apabila tidak diberi peluang untuk menyerahkan kad laporan mengenai kejayaan FINAS sepanjang 13 bulan dia berkhidmat.

Menurut Hans, kad laporan tersebut sepatutnya diserahkan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah, namun usaha berkenaan masih menemui jalan buntu.

“Saya dapat surat rasmi mengenai jawatan saya ditamatkan pada 23 Mei sehari sebelum raya.

“Tapi usaha nak serahkan kad laporan ini dah lama sejak saya terima panggilan jawatan saya akan ditamatkan lagi.

“Empat bulan saya menunggu untuk serahkan kad laporan ini.

“Malah, sepatutnya ada majlis serah tugas kepada pengerusi baru tapi semua itu tiada,” katanya.

Jelasnya, menerusi laporan itu, dia telah menggariskan 26 kejayaan dan pencapaian FINAS sepanjang dia berkhidmat.

“Daripada kejayaan memperkukuhkan kembali akaun kewangan, kes tertunggak Suruhanjaya Percegahan Rasuah Malaysia (SPRM), insurans artis veteran, KWSP & PERKESO sehinggalah isu berkaitan COVID-19.

“Semua itu dapat dicapai kurang daripada 13 bulan saya memegang jawatan.

“Namun apa yang paling saya nak tekankan adalah kejayaan untuk mengemas kembali akaun kewangan FINAS yang dahulunya tidak terurus.

“Semua ini saya tak sempat nak serahkan kepada Menteri,” katanya.

Tambahnya, dia juga menafikan dakwaan mengatakan dia tidak buat kerja dan hanya berdiam diri sepanjang pandemik COVID-19.

“Saya sebenarnya tidak dibenarkan bersuara atau mengeluarkan apa-apa kenyataan selepas menerima panggilan daripada pihak atasan mengenai pembatalan jawatan saya.

“Saya seperti diikat ketika itu. Tapi pelan dan modul semua saya sudah sediakan untuk bantu penggiat seni kreatif,” katanya.

Hans berkata demikian pada satu sidang media khas di Bukit Damansara, hari ini.

Untuk rekod, Hans menerima surat rasmi mengenai pembatalan pelantikan itu pada 23 Mei selepas menjadi Pengerusi Finas sejak April tahun lalu.

FINAS kemudian membuat pelantikan baru iaitu Zakaria Abdul Hamid sebagai Pengerusinya dan Datuk Norman Abdul Halim sebagai Timbalan Pengerusi FINAS bermula 23 Mei 2020.

BACA: “Segala Penantian Sudah Berakhir…”- Hans Issac Bukan Lagi Pengerusi FINAS

#FINAS #“Hans #“PENGERUSI #FINAS” #Isaac”
;