"Ketika Jadi OKU, Ramai Kata Saya Pura-Pura... Saya Ditohmah, Difitnah" - Ras Adiba Radzi

Amri Hassan
Mei 6, 2020 09:30 MYT
Personaliti televisyen Ras Adiba Radzi mengakui pernah berdepan situasi ditohmah dan difitnah berpura-pura sakit selepas lumpuh separuh badan sekitar tahun 2002.
Kata Ras, situasinya ketika itu amat menyukarkan dan dia hanya mampu berdiam diri.
"Pada 2002 tika saya menjadi OKU, ramai yang mengatakan saya tidak sakit dan yang saya berpura-pura.
"Mereka berkata begitu kerana mungkin tidak faham keadaan saya dan apa yang sebenarnya melanda diri saya.
"Saya ditohmah dan difitnah. Payah sungguh keadaan saya dan keluarga ketika itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu.
"Saya hanya mendiamkan diri. Malas mahu menerangkan keadaan sebenar kerana ketika itu saya sedang sukar kerana terkejut, bergelut dengan apa yang berlaku pada badan saya. Saya menjadi tidak keruan," katanya.
Mendedahkan situasi sebenar berlaku kepadanya, Ras memberitahu dia mengalami keadaan paraplegic (lumpuh separuh badan) dan memerlukan bantuan kerusi roda untuk bergerak.
"Saya seorang OKU yang lumpuh separuh badan atau seorang Paraplegic.
"Dengan fisioterapi, saya mampu membawa kereta dan berenang menggunakan tangan (kaki saya akan jatuh ke dalam air ketika berenang).
"Pergerakan saya terbatas dan saya berharap kepada kerusi roda untuk bergerak," kongsinya bersama bukti perakuan perubatan.
Ekoran situasi terbabit, Ras mengambil kesempatan sempena kedatangan bulan Ramadan untuk memaafan semua individu yang pernah melemparkan kata-kata tidak tepat mengenainya sebelum ini.
"Justeru hari ini setelah sekian lama saya ingin memberi pencerahan mengenai keadaan fizikal saya.
"Saya ingin memaafkan mereka yang berkata dan berfikiran buruk terhadap saya.
"Di saat ini, saya ingin maafkan kalian yang tidak tahu keadaan sebenar dan kalian yang berkata buruk terhadap saya dan menfitnah saya selama ini.
"Semoga selepas ini semua faham dan jelas. Saya maafkan dan sayang kalian semua," ujarnya.
Pada 1996, Ras Adiba terbabit dalam kemalangan jalan raya sehingga terpaksa menjalani pembedahan tulang belakang dan kemudiannya disahkan lumpuh separuh badan pada Julai 2002.
#Ras Adiba Radzi #Fitnah #OKU