Selebriti Raf Yaakob mengakui dia turut terkena tempias kontroversi ketika mengambil keputusan untuk menikahi pelakon Mawar Rashid.

Isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang menghimpit Mawar ketika wanita itu bersaing dalam Dewi Remaja 2015 turut mendatangkan pelbagai persepsi terhadap Raf.

"Ada yang tanya, kenapa saya pilih Mawar? Ada pula yang siap 'throwback' mengenai kontroversi GST yang pernah dilalui oleh isteri saya.

"Saya sendiri mempunyai persepsi lain... Kalau saya berada di tempat Mawar ketika itu pun, pastinya saya gementar dan 'blank' sehingga tak tahu untuk menjawab persoalan mengenai GST," dedahnya.

Raf ditemui di majlis pelancaran produk kosmetik isterinya, Mawarose di Suka Sucre Bistro, Cheras baru-baru ini.

Tambah adik kepada penyanyi Datuk Fazley Yaabok itu, isterinya merupakan seorang wanita yang bijak dan mempunyai banyak kelebihan.

"Sejujurnya, saya tahu dia menjawab dengan ikhlas ketika itu. Mawar yang saya kenali seorang wanita yang bijak dan dia pandai menyerlahkan potensi diri.

"Apa yang penting, Mawar mempunyai hati yang sangat baik. Kini, saya sangat berbangga dengan isteri saya kerana dia sudah melebarkan sayap dalam bisnes pula.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan berdoa agar perniagaan kecantikan Mawarose yang diusahakan oleh Mawar memperoleh kejayaan," kata Raf.









Menerusi produk yang dijalankan oleh Mawar bersama keluarganya, mereka mengeluarkan produk pertama iaitu Magic Rose Lips & Cheek Cream.

Selain dijual secara atas talian dan menerusi stokis, Mawarose juga menampilkan kelainan kerana ia dijual menerusi 'vending machine'.

Untuk sebarang informasi mengenai Mawarose, layari laman Instagram @mawarose_hq.

Saksikan drama bersiri lakonan Mawar dan Raf, TQ Captain di Astro pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang.