Penyanyi Khai Bahar menafikan penjualan tiket Konsert Khai Bahar : Dari Smule Ke Pentas Dunia yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Mac ini tidak laku.

Menurut Khai, dia akui penjualan tiket konsert pertamanya itu agak perlahan, namun dia yakin dengan sambutan peminat yang kebanyakkannya suka membeli tiket di saat akhir.

"Penjualan tiket konsert tersebut setakat ini berjalan lancar, tempat duduk paling mahal dan kedua termahal sudah habis dijual.

"Saya akui proses penjualan tiket agak perlahan, namun ia tidak bermaksud tidak laku, lagipun saya tidak risau kerana percaya dengan penonton yang suka membeli tiket di saat akhir.

"Saya bersyukur apabila melihat kesungguhan peminat yang ingin datang menonton konsert saya di Istana Budaya nanti," kata Khai kepada Gempak baru-baru ini.

Pelantun lagu Luluh ini menambah, dia tidak memikirkan bilangan penonton yang hadir, sebaliknya ingin lakukan yang terbaik untuk konsert tersebut.

"Saya tidak terlalu memikirkan tentang jumlah penonton yang hadir, apa yang penting, saya tetap akan berikan persembahan yang terbaik, kalau Istana Budaya tak penuh pun tak mengapa," tambahnya.



Konsert berdurasi hampir 2 jam itu akan memuatkan 20 buah lagu termasuk medley.

Pembelian tiket boleh dibuat menerusi www.airasiaredtix.com bermula pada harga RM86, RM116, RM236, RM276, RM296, RM366, RM446 dan RM556 (Gold).

Mereka yang membeli tiket pada harga RM556 akan berpeluang untuk berjumpa dengan Khai selepas konsert.