Khai Bahar Syukur, Konsert Solo Di DFP Berjalan Lancar - “Saya Practice Di Hospital”
Mya Amri
12/11/2023 09:55 MYT
12/11/2023 09:55 MYT
Penyanyi, Khai Bahar menyatakan rasa syukur apabila konsert solonya berjalan dengan lancar walaupun dirinya berdepan dengan cabaran dari segi masalah kesihatan.
Menurut Khai, untuk memastikan kelancaran Konsert Solo Khai Bahar itu, dia mengambil inisiatif menjalani sesi latihan secara virtual ketika berada di hospital.
“Disebabkan ditahan di wad, saya tidak dapat memberikan komitmen penuh terhadap jadual yang ditetapkan.
“Walaupun masa yang ada singkat, saya tetap seronok ketika berada atas pentas dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu saya.
“Saya melakukan persiapan dari segi sesi latihan di hospital sahaja. Tengok video yang diberikan dan dengar muzik, semuanya dilakukan di hospital.
“Selepas keluar dari hospital, saya hanya ada sehari sahaja untuk melakukan latihan secara fizikal. Syukur segalanya dipermudahkan ketika konsert berlangsung,” katanya.
Khai berkata demikian ketika ditemui Gempak selelas tamat Konsert Solo Khai Bahar yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada Sabtu.
Pada malam konsert solo tersebut, Khai telah membawakan 17 buah lagu antaranya #123, Madah Berhelah, Lemak Manis, Santai dan Bayang.
Mengulas mengenai tahap kesihatannya, Khai berkata dia kini beransur pulih dan masih bergantung kepada ubat-ubatan.
“Sepatutnya saya tidak dibenarkan keluar hospital lagi tetapi disebabkan ada tanggungjawang yang besar saya minta izin juga.
“Alhamdulillah doktor izinkan, kesihatan saya beransur pulih tetapi saya masih perlu makan ubat. Saya juga berasa bersyukur kerana konsert ini berjaya dan peminat pun enjoy,” ujarnya.
Terdahulu, Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 29, dimasukkan ke hospital akibat demam viral.
#Konsert
#Khai Bahar
#DFP
#Dewan Filharmonik Petronas
#Concert
#Konsert Solo
#Konsert Solo Khai Bahar