HIBURAN

Khairul Aming Ucap Terima Kasih Beri Review Jujur, Janji Perbaiki Kualiti - “Walaupun Rendang Dapat Banyak Pujian, Tapi Kami Tetap Ada Buat Silap”

Mya Amri 17/08/2025 | 09:53 MYT
Personaliti media sosial dan usahawan, Khairul Aming berterima kasih kepada pelanggan atas ulasan jujur yang diberikan terhadap produk makanan terbaharunya iaitu Rendang Nyet Berapi.

Ambil serius setiap komen diberikan

Menurut Khairul Aming, sejak dilancarkan, produk tersebut telah mencatat jualan memberangsangkan dengan lebih 180,000 paket terjual.

Bagaimanpun Khairul Aming menegaskan dia bersama pasukannya tetap mengambil serius setiap komen dan ulasan daripada pelanggan tidak kira yang positif mahu pun negatif.

“Walaupun rendang dapat banyak pujian dan rating tinggi, tapi kami tetap ada buat silap.

“Daripada 180,000 paket yang dah terjual, akan ada beberapa paket yang kami terlepas pandang sebab ini first batch kami jual rendang,” maklumnya menerusi hantaran di Insta Story.

Menerusi hantaran yang sama, Khairul Aming juga menyeru pelanggan yang menerima produk kurang sempurna agar segera menghubungi pasukannya untuk tindakan lanjut.

“KA cuma harap customers boleh contact kita untuk pastikan semua dapat produk dalam keadaan yang elok.

“Terima kasih sangat-sangat sebab sudi cuba produk kami,” tulisnya.

Untuk info, Rendang Nyet Berapi merupakan pelancaran makanan terbaru daripada jenama Khairul Aming selepas kejayaan besar Sambal Nyet Berapi yang mencetus fenomena sejak beberapa tahun lalu.

Produk terbaharu ini dilancarkan awal bulan Ogos dan berjaya merekodkan lebih 180,000 unit terjual dalam masa singkat sekaligus membuktikan kekuatan jenama serta pengaruh Khairul Aming dalam dunia perniagaan makanan.

Sikap profesional dan terbuka Khairul Aming dalam menerima teguran turut mendapat pujian warganet yang menghargai ketelusannya dalam menjaga kualiti produk makanan.

#Produk #Khairul Aming #Kualiti #KA #Rendang Nyet Berapi