Anmum Essential membina IQ dan membentuk EQ. Anak korang menjadi hebat!

Kilang Kitar Semula Terbakar Di Pengkalan Chepa

Gempak
27/10/2024 21:55 MYT
Sebuah kilang kitar semula di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Kelantan terbakar pada petang Ahad.

Komander Operasi Kanan Bomba dan Penyelamat Kelantan Zukeri Shafie berkata pihaknya menerima panggilan pada 6.02 petang, bagaimanapun kebakaran terbabit tidak melibatkan mangsa.

"Sebaik sampai di lokasi, kami mendapati kebakaran itu menyebabkan 80 peratus kilang terbabit terbakar dan kerja operasi pemadaman diteruskan," katanya.

Beliau berkata sebanyak 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa dan Pasir Tumboh terlibat dalam operasi pemadaman.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Khairul Ariffin Che Ramli berkata pihaknya menggunakan lima jentera dan empat lori tangki daripada Syarikat Air Kelantan berikutan bekalan air yang tidak mencukupi untuk memadam api yang terus merebak dan marak di pusat kitar semula itu.

Beliau berkata kebakaran berkenaan melibatkan bahan-bahan sisa pepejal antaranya getah, PVC dan plastik-plastik yang dikitar semula.

“Apabila melibatkan kebakaran sisa pepejal, ia mudah terbakar dalam jangka masa yang lama dan merebak ke tempat lain manakala punca kebakaran itu masih dalam siasatan.

“Kawasan kebakaran berkenaan agak luas iaitu 1.5 ekar manakala kerja-kerja pemadaman api masih lagi berjalan melibatkan keanggotaan sebanyak 40 orang,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian malam tadi.

Khairul Ariffin berkata longgokan sisa pepejal berkenaan melibatkan ketinggian antara tiga hingga empat meter dan ia agak menyukarkan operasi bomba untuk memadam kerana kekurangan bekalan air.

Beliau berkata api masih marak hingga kini dan mengeluarkan kepulan asap hitam yang tebal serta berkemungkinan kebakaran padam sepenuhnya pada Isnin.

“Saya menasihati orang awam yang berada di kawasan sekitar supaya tidak menghampiri tempat kebakaran demi keselamatan dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini,” katanya.

Sumber - BERNAMA

#Kelantan #Kilang #Kilang Terbakar #Kilang kitar semula
;