HIBURAN

"Killer Song Itu Subjektif, Penyanyi Baharu Perlu Usaha Cari Genre Yang Tepat" - Amy Search

Umirah Halim 28/01/2025 | 00:55 MYT
Penyanyi Datuk Amy Search berpendapat bahawa istilah 'killer song' merupakan sesuatu yang bersifat subjektif.

Bagaimanapun, Amy atau Suhaimi Abdul Rahman, 67, tidak menolak pandangan segelintir pihak yang berpendapat bahawa setiap penyanyi memerlukan lagu hit atau 'killer song' dalam kerjaya nyanyian mereka.

"Killer song ini adalah satu perkara yang subjektif. Ada kalanya kita tahu lagu itu boleh 'pergi', adakalanya kita tidak tahu.

"Kadang-kadang lagu itu boleh jadi 'boom' tapi tiba-tiba lagu kemudiannya dalam keadaan bahaya.

"Penyanyi perlukan 'killer song' sebab sebenarnya sesebuah lagu popular itu yang akan mengetengahkan lagi bakat anda, terutamanya penyanyi baharu," katanya kepada Gempak ketika ditemui di sidang media Amy Search Magic Konsert Solo Pertama yang diadakan di Society, Mont Kiara, Kuala Lumpur pada Isnin.

Cari genre yang tepat

Dalam pada itu, pelantun lagu Tiada Lagi itu juga menasihatkan agar penyanyi baharu berusaha dalam mengenal pasti genre yang sesuai dan tepat bagi menghasilkan karya yang mampu diingati peminat.

"Daripada situ juga dapat membantu penyanyi 'explore' apakah genre yang sesuai dengan mereka.

"Penyanyi perlu pandai bereksperimentasi tetapi bila lagu pertama dah 'hit', akan timbulkan satu tekanan buat penyanyi untuk hasilkan lagu kedua.

"Jadi mereka kena tahu 'material' yang sesuai dengan karya mereka untuk hasilkan lagu. Kena banyak mendengar dan buat research sampai jumpa dia genre utama. Jangan terlalu ikut apa orang cakap," ujarnya.

Terdahulu, penyanyi Man Bai meluahkan pendapat bahawa Aina Abdul memiliki bakat nyanyian luar biasa, namun masih belum cukup membuatnya diingati.

Katanya, Aina perlu mempunyai ‘killer song’ iaitu lagu malar segar yang boleh bertahan dalam jangka masa panjang.

Dalam perkembangan lain, Amy bakal mengukir sejarah baharu dalam kariernya apabila bakal menjayakan konsert solo pertama di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 26 April ini.

Konsert Amy Search Magic Solo Pertama ini dijangka menjadi salah satu detik paling penting dalam perjalanan seni Amy selama empat dekat dalam industri muzik.

BERITA BERKAITAN: Dikatakan Tiada ‘Killer Song’, Aina Abdul Lapang Dada Terima Teguran Man Bai - “Sebagai Penyanyi Kita Memang Perlu Ada…”

BERITA BERKAITAN: Dikatakan Tiada ‘Killer Song’, Aina Abdul Lapang Dada Terima Teguran Man Bai - “Sebagai Penyanyi Kita Memang Perlu Ada…”

#Search #Amy #killer song #subjektif