Seorang model, pereka fesyen dan Instafamous dari Newport Beach, California, Joselyn Cano dilaporkan meninggal dunia sewaktu melakukan pembedahan plastik di Colombia baru baru ini.

Cano yang juga digelar Kim Kardashian Mexico dilaporkan meninggal dunia pada 7 Disember lalu, namun berita kematiannya baru tersebar setelah majlis pemakamannya disiarkan secara langsung di YouTube minggu ini.

"Cano lahir pada Rabu, 14 Mac 1990. Dia kini kembali ke 'sana' pada Isnin, 7 Disember 2020", tulis kapsyen dalam YouTube tersebut.

Walaupun pihak keluarga belum memberi kenyataan rasmi berhubung kematiannya di usia 29 tahun, namun Cano didakwa meninggal dunia sewaktu mendapatkan rawatan pembedahan plastik pada bahagian punggungnya.

"Saya tak percaya Joselyn Cano meninggal dunia ketika membuat pembedahan plastik di Colombia. Ini gila," tulis seorang influencer, Lira Mercer di platform media sosialnya.



Sementara itu, New York Post melaporkan Cano yang memiliki lebih 12 juta pengikut itu menjadi popular kerana memiliki jenama pakaian renangnya sendiri, Joselyn Cano Swimwear selain terkenal sebagai seorang model.

Laman sosial Cano juga tidak lagi dikemas kini sejak 7 Disember lalu.

Sekadar informasi, pembedahan plastik pada bahagian punggung atau dikenali sebagai Brazilian butt lifts, memang sangat popular dalam kalangan wanita di Amerika Syarikat. Ia merangkumi proses mengambil mana mana bahagian badan untuk 'ditampal' pada bahagian punggung.

Bagaimanapun, banyak laporan kes yang berakhir dengan tragedi seperti kematian kerana pembedahan plastik yang dijalankan gagal.