Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Kisah Cinta Lama Dibongkar Semula, Justin Timberlake Mohon Maaf Kepada Britney Spears & Janet Jackson Kerana ...

Amri Hassan
13/02/2021 08:57 MYT
Seperti semua sedia maklum kisah cinta antara Justin Timberlake dan Britney Spears telah berlalu sejak lebih 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, nama mereka kembali hangat diperkatakan baru-baru ini apabila sebuah dokumentari bertajuk Framing Britney Spears ditayangkan.

Dokumentari itu memaparkan situasi yang berlaku kepada kehidupan penyanyi pop itu ketika di ambang kejatuhan. Salah satunya mengenai hubungan cinta mereka.

Malah, Timberlake difahamkan telah melancarkan lagu Cry Me a River yang didakwa sebagai satu pembalasan dendam terhadap Spears.

Justeru, Timberlake tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di media sosialnya pada Sabtu.

"Saya mendapat pelbagai kiriman mesej, komen dan sebagainya. Justeru saya ingin memberikan maklum balas.

"Saya memohon maaf atas tindakan saya yang menyebabkan timbulnya masalah juga kerana tidak berbicara hal yang sebetulnya.

"Saya faham saya telah gagal pada waktu itu dan mendapat manfaat daripada sistem yang menghukum misogyny (membenci wanita) dan rasis," katanya.



Suami kepada pelakon Jessica Biel itu turut memohon maaf kepada Janet Jackson kerana gagal menghormatinya sebagai seorang wanita.

"Saya khususnya memohon maaf kepada Britney Spears dan Janet Jackson secara individu kerana saya gagal menghormati dan menjaga mereka.

"Saya terpanggil untuk memberikan respon kerana setiap individu berhak untuk mendapat yang terbaik," tambahnya.

Kata Timberlake lagi, permohonan maafnya itu cuma langkah pertama biarpun takkan menyembuhkan luka lama.

"Saya bukan seorang yang sempurna untuk menguruskan hal ini dalam kerjaya saya.

"Pastinya permohonan maaf ini bukan langkah pertama dan tidak akan melenyapkan kisah silam. Saya ingin bertanggungjawab atas kesilapan saya selama ini," ujarnya.
#Viral #Hollywood #Britney Spears #Janet Jackson #Dokumentari #Justin Timberlake #Framing Britney Spears
;