Hiburan
Kisah Cinta Lama Jadi Ilham Single Baru Siti Nordiana
Penyanyi Siti Nordiana menjadikan kisah cinta lama sebagai ilham untuk menciptakan lagu yang menjadi single terbarunya.
Menerusi lagu Terus Mencintai, juara GegarVaganza 2 yang mesra disapa sebagai Nana itu mencipta lagu selepas hampir 12 tahun.
"Kali terakhir saya mencipta lagu sendiri adalah pada tahun 2005. Saya muncul dengan Terus Mencintai sebagai hadiah buat peminat yang selama ini tidak berhenti memberikan sokongan.
"Saya menjadikan kisah cinta lama sebagai panduan untuk menghasilkan lagu. Saya enggan mendedahkan siapa gerangan orangnya, biarlah menjadi rahsia saya.
"Apabila saya bercerita mengenai kisah sendiri, saya merasakan lebih mudah untuk saya sampaikan dan sudah pasti orang yang mendengar dapat merasakan kesedihannya," kata Nana kepada Astro Gempak.
Tambah Nana, dia mengakui dirinya mengambil masa yang lama untuk melengkapkan lagu Terus Mencintai.
"Saya ambil masa setahun untuk melengkapkan lagu ini. Saya akui saya agak sibuk dengan tawaran persembahan dan sebagainya. Kadang-kadang, idea itu tidak muncul.
"Saya siapkan bahagian demi bahagian, akhirnya saya cantumkan dan memberikan kepada rakan saya untuk disusun," kata Nana lagi.
Teks oleh: Kamaruddin Razal