Ramai yang sibuk mencari gerangan penyanyi runut bungi filem Pagari Bulan arahan Ts Raja Mukhriz berjudul Bulan selepas tampil pada malam gala filem terbabit beberapa minggu lalu.

Kalau nak tahu, Namira merupakan empunya suara lunak yang menyanyikan lagu Bulan. Namira atau nama sebenarnya Amira binti Aman, 30, yang berasal dari Kuala Lumpur, tak sangka lagu tersebut menjadi pilihan untuk dijadikan runut bunyi filem.

"Lagu Bulan ini, saya cipta kira-kira dua tahun lalu berbekalkan inspirasi kepada seseorang yang saya cintai. Namun, sayangnya kami tiada jodoh apabila hubungan itu putus dan terjadilah jalan cerita lagu ini yang berkisar pada cinta tidak kesampaian.

"Sewaktu pihak Saudagar Seni memperdengarkan demo lagu tersebut kepada Sharifah Shahora selaku penerbit filem, beliau sangat berminat lalu meminta lagu tersebut dikongsi kepada Raja Mukhriz. Paling mengejutkan pengarah itu terus bersetuju untuk menjadikan BULAN sebagai OST filem Pagari Bulan.

"Raja Mukhriz kata, lagu itu sesuai dengan jalan cerita tersebut. Dia juga kata lagu itu ada roh dan bila diputarkan berulang kali seakan-akan sebak menyelubungi hati. Alhamdulillah, lagu tersebut berjaya menyentuh hati orang yang mendengarnya," ceritanya.

A post shared by Primeworks Studios Film (@primeworksstudios.film)


Sharifah Shahora berkenan dengan lagu Bulan

Sementara itu, Penerbit Eleven Field Creative, Sharifah Shahora berkata, dia berminat dengan lagu Bulan ciptaan dan nyanyian Namira itu untuk dijadikan lagu OST filem Pagari Bulan kerana lirik yang sangat sesuai dengan pengkisahan filem berkenaan.

Filem Pagari Bulan mengangkat kisah 'Wanita Penghibur' pada era penjajahan tentera Jepun.

"Saya sudah lama kenal dengan Azmi Jamsari pemilik Saudagar Seni dan kami bertemu waktu itu kerana kucing. Dalam pada berborak perihal industri seni, saya juga bertanya padanya mengenai lagu untuk dijadikan OST filem Pagari Bulan.

"Dia kata, pihaknya ada lagu sesuai dan minta saya dengar dulu. Selepas mendengarnya, saya suka melodi dan liriknya tapi lagu itu mempunyai tempo moderate pula. Apabila dikongsi dengan pengarah iaitu Raja Mukhriz, dia terus berminat dan mahu lagu tersebut dilamar. Saya kata dengan Azmi, boleh tak kalau nak buat susunan muzik semula dengan tempo yang perlahan sedikit dan dia bersetuju.

"Saya pun minta Cat Farish untuk buat susunan muzik semula lagu itu dan kekal Namira sebagai penyanyi. Saya pilih Namira sebab lagu Bulan itu adalah ciptaannya dan vokalnya juga sesuai," katanya.

"Oleh kerana garis masa yang terhad, saya dan Azmi bersetuju untuk merakamkan muzik video Bulan ini serentak sewaktu proses rakaman suara berlangsung. Saya bersyukur kerana segalanya berjaya dibuat seperti dirancang," tambahnya.

Namira menyanyi dari sekolah

Berkongsi lanjut tentang perjalanan seni Namira, minatnya dalam bidang seni suara sudah mula berputik sejak di bangku sekolah lagi.

"Saya sebenarnya sudah sampai tahap berserah pada Allah saja. Ada rezeki saya, adalah dan kalau tak ada mungkin karier seni bukan untuk saya. Banyak dugaan sudah saya lalui dalam perjuangan untuk minat terhadap muzik ini.

Berbicara juga minat mendalamnya terhadap nyanyian, Namira berkata, minat sudah berputik sejak dia masih kanak-kanak apabila selalu menyertai apa saja pertandingan menyanyi sejak di alam persekolahan.

"Menyertai pertandingan menyanyi adalah kesukaan saya tanpa fikir menang atau kalah. Cuma, minat saya terhadap muzik terus pupuk ketika melanjutkan pengajian diploma di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pada 2011.

"Saya mengambil jurusan muzik dalam pengkhususan gitar klasik selama tiga tahun, diikuti kemudiannya tiga tahun lagi dalam jurusan penciptaan lagu dan susunan muzik pula.

"Selepas tamat pengajian, saya pernah jadi 'backup musician' untuk program Teh Tarik Che Ta di RTM pada 2016. Kemudian, saya dapat rezeki sebagai pengacara program travelog, Sneakers Merah Jambu di RTM yang disiarkan pada 2017.

"Sebelum ini juga saya telah banyak menghasilkan lagu ‘jingle’ bagi produk iklan. Cuma keberanian untuk menawarkan lagu kepada penyanyi lain belum tiba. Mungkin inilah masanya saya memperkenalkan jenama Namira kepada penggiat seni agar kehadiran saya memberi manfaat kepada industri hiburan Malaysia khususnya.

"Saya bersedia memberikan karya saya pada mereka yang berminat kerana saya ada koleksi lagu yang sudah siap. Lagu-lagu ciptaan saya selain tema cinta, ada juga berkisar tentang kemanusian tapi lebih bersifat umum dan sesuai untuk semua lapisan usia,” ujarnya.

Bagi yang ingin mengikuti Namira boleh ke semua platform media sosial dengan nama @theofficialnamira. Selain itu, Muzik Video boleh diikuti di saluran YouTube Saudagar Seni Media.