Laman Utama
Kisah Hipnosis Bersulam Cinta, Sebuah Lagi Buah Tangan Unik Daripada Nik Amir Mustapha
Pengarah Nik Amir Mustapha memberitahu, filem arahannya, Imaginur merupakan sebuah filem sains fiksyen yang unik bersulamkan elemen romantik.
Nik Amir berkata, selain elemen-elemen eksentrik ini, filem tersebut turut mengangkat jalan cerita berbeza sesuai dengan plot dan premis yang ingin diketengahkan.
“Imaginur merupakan sebuah kisah cinta mengisahkan seorang lelaki yang dapat bertemu dengan gadis misteri yang ditemuinya dalam mimpi selepas melalui proses hipnosis.
“Bolehkah kita dipukau untuk bercinta? Saya terinspirasi dengan soalan itu dan berhasrat mencipta satu ‘snapshot' kehidupan orang Malaysia yang bertemakan cinta dan keluarga selain dipakej bersama elemen hipnosis,” ujarnya.
Merupakan filem ketiganya selepas KIL dan Terbaik Dari Langit, Nik Amir memberitahu bahawa idea untuk menghasilkan Imaginur timbul akibat minat mendalam dengan minda manusia yang kompleks.
“Sebenarnya, idea untuk menghasilkan filem ni sudah ada sejak sebelum saya mengarahkan filem pertama iaitu KIL.
“Akhirnya, saya berganding dengan Redza Minhat untuk menulis sebuah filem bertema cinta, hipnosis dan kehidupan. Setelah lama tak buat filem, saya rasa nak buat comeback dengan idea original saya dulu maka terhasillah Imaginur,” jelasnya.
Diterbitkan oleh Lumatic Films, Imaginur mengandingkan dua orang pelakon hebat iaitu Beto Kusyairy dan Diana Danielle selaku teraju utama.
Mengenai pemilihan kedua-dua pelakon berkenaan, Nik Amir menyatakan keyakinannya terhadap Beto dan Diana untuk menjayakan watak masing-masing dengan baik.
“Umum mengetahui Beto merupakan seorang pelakon yang mampu menjiwai apa sahaja watak. Malah, dia berhasil memberikan komitmen lebih dari 100 peratus untuk watak Zuhal.
“Mengenai Diana pula, saya tertarik dengan kebijaksanaannya apabila pertama kali berbincang mengenai filem ini. Saya rasa dia memang cukup sesuai untuk membawakan watak Nur, seorang gadis yang penuh misteri,” jelasnya.
Pada masa sama, Nik Amir memberitahu bahawa filem Imaginur ini mempunyai tarikan tersendiri untuk penonton menontonnya di pawagam.
Jelasnya, selain menampilkan ramai pelakon hebat, tarikan filem berkenaan adalah plotnya yang penuh misteri dan menjadi tanda tanya.
Ujarnya, penonton akan disajikan sebuah cerita dengan unsur misteri yang tidak terlalu straight forward dan yakin penonton dapat mendapat satu kepuasan selepas menontonnya.
“Walaupun Imaginur bukanlah sebuah filem blokbuster, saya harap cerita seperti ini mendapat sambutan masyarakat dan dapat bermain dengan perasaan penonton.
“Kami cuba menghidangkan sesuatu yang alternatif dari segi plot dan penyampaian dengan harapan lebih cerita seperti ini dapat dibikin dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia,” ujarnya.
Imaginur akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 23 Februari 2023.
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.
Must-Watch Video