Kisah sejarah sebenar zaman kesultanan Johor, Negeri Sembilan, Pahang dan Kedah bakal diangkat dalam sebuah filem bergenre 'epik dan aksi' yang berjudul 'Putera Empayar Nusantara', yang dijangka akan ditayangkan pada 2021, lapor BERNAMA.

Karya terbitan Eria Ventures Sdn Bhd dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan itu akan memulakan sesi pengambaran bermula tahun depan melibatkan beberapa lokasi antaranya di Negeri Sembilan, Kedah, Rompin, Pahang, Johor, Sulawesi serta Makasar di Indonesia.

Filem yang mendapat sentuhan daripada gabungan tiga pengarah iaitu Asmadie Mokhadar dan Javert dari Malaysia serta pengarah terkenal dari Indonesia, Ario Sagantoro, mensasarkan untuk menembusi pasaran antarabangsa, dan ia turut mendapat bantuan teknik Computer-Generated Imagery (CGI) daripada Linux Group, syarikat pembuat teknik CGI terkenal di Hong Kong dan China.

Pengarah Eria Ventures Sdn Bhd, Asmadie berkata filem itu bertujuan mengangkat martabat Raja-Raja Melayu.

"Filem ini mengaitkan kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, di mana pewarisnya mahu menuntut takhta dengan mendapatkan bantuan dari Daeng Lima Bersaudara," katanya kepada Bernama selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Eria Ventures Sdn Bhd bersama barisan pelakon dan karyawan filem 'Putera Empayar Nusantara' di sini, pada Sabtu.

Turut hadir, Undang Luak Johol Datuk Muhammad Abdullah yang juga penaung filem berkenaan.

"Menerusi filem ini, masyarakat akan boleh mengetahui mengenai sejarah Negeri Sembilan juga. Dengan adanya filem ini, generasi muda akan tahu mengenai adat dan budaya yang diamalkan orang terdahulu," katanya.

Sumber: BERNAMA