Selain memastikan setiap kali keluar rumah akan memakai pelitup muka dan kerap menggunakan 'hand sanitizer', tidak dinafikan kita juga akan kerap menggunakan kit ujian lebih meluas untuk memastikan diri dan keluarga benar-benar sihat untuk langkah berjaga-jaga.

Pun begitu, kesahihan keputusan kit saringan kendiri atau juga dikenali sebagai Rapid Antigen Test menggunakan sampel air liur mula dipersoalkan apabila viralnya satu video yang dimuat naik oleh pengguna aplikasi TikTok.

Menerusi video berdurasi satu minit 14 saat, terlihat seorang lelaki membuat ujian kit tersebut dengan menggunakan air paip.

Apa yang mengejutkan keputusan ujian tersebut menunjukkan positif, terlihat jelas dua garisan pada kit tersebut.

Ekoran daripada video tersebut Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan kit ujian kendiri COVID-19 yang disarankan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan keputusan tepat.

Ujarnya hanya kit ujian kendiri COVID-19 ‘asli’ dapat bertindak balas dengan air liur dan antibodi dalam sampel air liur yang diambil.

Beliau berkata, tidak dinafikan ada kit ujian kendiri COVID-19 menunjukkan keputusan tidak jitu, sebab itu KKM menyarankan penggunaan kit ujian yang diluluskan sahaja.

“Pengguna perlu membeli kit ujian kendiri COVID-19 disarankan kerajaan dan di farmasi, ada banyak kit ujian itu yang murah dan palsu di pasaran sekarang,” katanya

Beliau memberi reaksi itu bagi mengulas berhubung video tular memaparkan keputusan kit ujian kendiri COVID-19 yang positif hanya dengan menggunakan air paip.

Video berkenaan mengundang pelbagai reaksi warganet sehingga ada yang mempersoalkan berhubung keputusan kit ujian kendiri COVID-19 terbabit.

Dr Hanafiah berkata, penggunaan kit ujian kendiri COVID-19 yang tidak sesuai akan menyebabkan keputusan tidak jitu terhasil.

“Jika menggunakan kit ujian kendiri COVID-19 palsu dan melakukan ujian terhadap air longkang sekalipun, kemungkinan keputusannya juga adalah positif.

“Harga kit ujian kendiri COVID-19 kini sudah murah, hanya RM6.90. Pengguna disarankan untuk mendapatkan kit ujian kendiri yang disarankan KKM,” katanya.

AWANI / KELUARGA