Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat akui bukan mudah untuk meninggalkan anaknya, Ana Nayla yang baru berusia setahun buat pertama kali dalam jangka masa yang lama.

Namun Ayda yang ditemui Gempak di Taiwan untuk kempen Salam Taiwan memberitahu dia cuba menyesuaikan diri memandangkan puteri sulungnya itu menunjukkan tanda yang baik sejak ditinggalkan lapan hari lalu.

“Pada mulanya saya dan suami (Nabil Mahir) memang sukar untuk menahan sedih dan rindu apabila terpaksa berpisah dengan anak.

“Sampaikan saya elak untuk bercakap dan lihat muka dia ketika ‘video call’ kerana saya akan sedih. Jadi lebih baik jangan dahulu.

“Tapi yang mengejutkan…Alhamdulilah Ana sebenarnya okey sahaja. Kita beriya sedih tapi tengok dia macam ‘happy’ je. Dia memang seorang anak yang baik.

“Sebelum ini pun macam tu, bila tinggal dia macam tiada perasaan je ‘happy’ je bila dia nampak kita balik rumah dia mula menjerit teruja kemudian menangis datang kepada saya, mungkin rindu,” katanya kepada Gempak.

Ayda ditemani suami Nabil untuk penggambaran bagi kempen Salam Taiwan bagi mempromosi lokasi serta makanan menarik di sini selama 12 hari.

“Ini kira, lokasi pertama saya ke luar negara untuk bekerja sambil bercuti. Tak sangka ia tempat yang menarik dan seronok untuk dikunjungi.

“Jika orang tak tahu sebenarnya banyak tempat menarik yang boleh dijelajah di sini antaranya permandangan yang cantik gunung ganang di Alishan serta makanannya yang kebanyakkannya halal,” kongsinya.

Tambah Ayda selepas ini dia bakal bergerak aktif dalam bidang seni demi mengubati peminatnya yang sudah lama menantikan kemunculannya selepas melahirkan anak pertama.

“Insya-Allah, saya akan mengubati peminat saya dengan drama yng saya rasa berbaloi untuk saya terima dan lakonkan.

“Saya cuba untuk kembali aktif juga dalam bidang nyanyian. Material semua dah ada kita tunggu masa yang sesuai untuk keluar dengan lagu baru nanti,” tambahnya.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!