Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

"Kita Boleh Complicatedkan Lirik Tu,Tapi..." - Ini Komen Rapper Abubakarxli Isu Guna Bahasa 'Pasar' Dalam Lagu Zaman Sekarang

ZULHILMI JALIL
20/12/2020 03:50 MYT
Penggunaaan bahasa yang tidak puitis dalam penulisan sesebuah lagu pada masa kini sering menjadi perdebatan.

Ada yang menganggap sesebuah lagu itu perlu penggunaan bahasa yang mendalam maksudnya, bahkan ada juga yang merasakan satu-satu lagu itu perlu kedengaran santai sahaja.

Maka, tidak hairanlah apabila lagu-lagu generasi kini dilihat banyak menggunakan pemilihan bahasa slanga atau bahasa pasar, terutamanya jika ia dihasilkan oleh penulis generasi kini.

Bagi pendatang baharu, rapper Abubakarxli, dia menyifatkan setiap orang mempunyai cita rasa tersendiri dalam sesebuah penghasilan lagu.

Bahkan, bagi dirinya sendiri, rapper yang mesra di sapa dengan panggilan Abu ini mengakui lebih gemar menggunakan pemilihan bahasa santai dan ringkas dalam lirik lagunya.

"Sebenarnya, kita boleh complicatedkan (rumitkan) lirik itu, tapi siapa pula nanti orang yang akan buat lagu macam tu (bahasa slanga) kalau bukan saya.

"Saya boleh buat lagu yang orang suka, tapi pada masa sama, saya nak juga buat lagu yang saya suka," katanya kepada Gempak.

Rapper berusia 24 tahun itu ditemui sewaktu mempromosikan album E.P pertamanya berjudul EXACXLI terbitan Universal Music Malaysia dan Def Jam Malaysia.

EXACXLI memuatkan enam buah lagu iaitu Balik Kampung, Terbang, Ada Orang, Rehat, Jangan Marah dan Selesai.

Menurut Abu, sepanjang berjinak-jinak dalam dunia muzik, dia juga sudah menghasilkan kira-kira 100 buah lagu.

"Lagu-lagu yang saya tulis pun lebih kepada kisah jalanan, mengenai kehidupan.

"Jadi, pemilihan kata itu pun lebih kepada bahasa harian yang kita sering gunakan," jelasnya yang sebelum ini pernah muncul dengan lagu NiNiNi.

Bercakap mengenai lirik santai, anak kelahiran Ipoh, Perak ini mengakui kebanyakan lagu yang ditulis itu adalah berkait dengan apa yang dilalui dalam kehidupan seharian.

"NiNiNi itu pun dibuat secara spontan dengan SonaOne. Masa Dia nak salin fail, dia kata bagi aku copy ni, ni, ni (ini)..terus saya minta dia buka mikrofon dan rekod, jadilah lagu NiNiNi.

"Topik (ceritanya) itu mungkin nampak macam senang, tapi proses nak buat lagu itu sendiri pun bukan mudah," katanya yang cukup mengagumi Too Phat.

Dalam pada itu, kata Abu dia berharap orang di luar sana dapat menerima kehadirannya dalam industri arus perdana khususnya kepada pencinta muzik Hip Hop.

#rapper #Abubakarxli #Bahasa Pasar #Lirik