MUZIKAL LAWAK SUPERSTAR 2019
“Kita Jumpa Nanti Ya” – Atu Berharap Dapat Jumpa Peminat Ciliknya, Dhia Sumayyah Pesakit Kanser
Pelawak Atu daripada kumpulan Zero berharap dapat bertemu dengan peminat ciliknya, yang juga pesakit kanser selepas pertandingan Muzikal Lawak Superstar (MLS), berakhir.
Atu ketika dihubungi Gempak berkata, dia tidak tahu mengenai peminat istimewanya itu, sehinggalah diberitahu oleh isteri, Shafeeqa Johari.
“Isteri saya beritahu, ada menerima tempahan kek daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan tidak menyangka ia adalah tempahan daripada seseorang yang istimewa.
“Kata isteri, ibunya tidak memberitahu langsung mengenai anaknya ketika membuat tempahan. Kalaulah saya tahu…,” katanya.
Bagaimanapun kata Atu, dia berhasrat untuk bertemu kanak-kanak tersebut selepas MLS, jika diizinkan.
“Isteri ada minta kebenaran ibu adik itu untuk berjumpa, tetapi keadaan dia tidak mengizinkan. Tidak mengapa, kami pasti akan bertemu juga nanti.
“Saya akan sentiasa doakan dia sihat dan akan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain,”.
Kanak-kanak tersebut yang dikenali sebagai Dhia Sumayyah baru selesai membuat rawatan ‘transplant Marrow’ di PPUM.
Isteri Atu, Shafeeqa turut meluahkan rasa sebaknya apabila mengetahui keadaan sebenar Dhia dan berkongsi mengenai perkara tersebut di laman Facebook (FB).
“Hari ini tergamam aku seharian. Semalam pos kek ke PPUM, selalunya dapat dapat staff atau doktor yang beli. Kali ni berbeza.
“Allah…Semoga Allah pemudahkan adik Dhia Sumayyah. Ibunya tak bagi tahu langsung yang anaknya di wad itu sakit begini. Bukan dia meminta simpati.
“Kita doakan dia ramai-ramai ya...Semoga cepat sembuh adik Dhia Sumayyah. Terima kasih kerana minat mu kepada Atu dan kumpulan UNI. Nanti sihat, kami melawat ya nak,” luahnya.
Dalam pada itu Shafeeqa sempat berpesan kepada ibu bapa di luar sana supaya menghargai anak masing-masing yang merupakan anugerah daripada Allah SWT.
“Hari ni nak marah anak pun tak sampai hati. Allah anugerahkan anak yang sihat kepada kita, kita hargailah pemberianNya,” tulisnya.
Dalam perkembangan lain, Atu bersama ahli kumpulan UNI iaitu Fad (Bocey) dan Fakhrul (UNIC) kini sedang sibuk mempersiapkan diri menjelang pentas akhir MLS.
Pentas akhir MLS bakal berlangsung Jumaat ini ini, 9 malam, secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.
Program ini juga disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.
Untuk perkembangan terkini program Muzikal Lawak Superstar, layari www.muzikallawaksuperstar.gempak.com