Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Sukan

"Kita Ketandusan Pemain Pelapis" - Legenda Bola Sepak Datuk Dollah Salleh Dilantik Ikon Glocal Football Academy, Cungkil Bakat Muda

Amri Hassan 16/12/2024 | 18:35 MYT
Dalam usaha mengembangkan bakat baharu dalam arena bola sepak tempatan, Glocal Football Academy telah menganjurkan kejohanan Rising Star Grassroots Tournament yang menerima sambutan hangat daripada komuniti setempat serta luar Lembah Klang.
Kejohanan peringkat akar umbi ini berjaya menghimpunkan lebih 500 pemain muda berusia bawah 12 tahun dari pelbagai pasukan di Lembah Klang, Johor, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan.
Program ini bertujuan memberi peluang kepada pemain cilik mempamerkan bakat sambil merasai pengalaman bersaing dalam suasana kompetitif.
Pengerusi Glocal Football Academy, Datuk Mohd Idzham Mohd Isa, berkata inisiatif ini sebahagian daripada misi akademi untuk membangunkan bola sepak peringkat akar umbi serta membentuk asas kukuh bagi pembangunan sukan ini di Malaysia.
“Kejohanan seperti ini bukan sahaja platform untuk mencungkil bakat baharu, tetapi juga memupuk nilai-nilai seperti disiplin, kerjasama berpasukan, dan semangat kesukanan dalam kalangan pemain muda,” katanya ketika ditemui di Brainy Bunch Sports Park, Taman Melawati, Kuala Lumpur.

40 pasukan bertanding

Edisi pertama kejohanan ini menyaksikan penyertaan lebih 40 pasukan bola sepak dengan pemain berusia empat hingga 12 tahun, dibahagikan kepada empat kategori: bawah 6 tahun (Under 6), bawah 8 tahun (Under 8), bawah 10 tahun (Under 10), dan bawah 12 tahun (Under 12).
Menurut Datuk Mohd Idzham, kejohanan ini adalah hasil kerjasama kelab-kelab tempatan yang komited menyediakan peluang latihan bola sepak kepada kanak-kanak.
“Program ini bertujuan membina asas bola sepak dalam kalangan pemain muda, mengembangkan bakat mereka serta memupuk disiplin, keyakinan diri, dan memberikan aktiviti bermanfaat kepada kanak-kanak di kawasan bandar yang kurang kemudahan sukan.
“Kami merancang untuk menjadikan kejohanan ini sebagai acara tahunan yang lebih besar dan berprestij, dengan kemungkinan mewujudkan liga bola sepak masa depan. Sasaran kami adalah membawa kejohanan ini ke peringkat negeri sebelum diakhiri dengan final di Kuala Lumpur.
“Selain itu, sebuah klinik bola sepak percuma juga akan diadakan bagi mendedahkan kanak-kanak kepada asas bola sepak serta membuka peluang untuk mereka menyertai kelab ini,” katanya.

Legenda bola sepak

Pada acara tersebut, Datuk Mohd Idzham turut mengumumkan pelantikan Datuk Dollah Salleh sebagai Ikon Glocal Football Academy.
“Kami lantik Datuk Dollah bukan untuk melatih pemain ini secara langsung, tetapi untuk memberikan motivasi dan semangat kepada mereka. Sebagai seorang legenda bola sepak, kehadiran beliau pastinya memberi inspirasi kepada pemain-pemain muda ini.
“Datuk Dollah mempunyai pengalaman luas, dan kami juga bercadang membuka klinik bola sepak bersama beliau agar beliau dapat berkongsi pengalaman dan memberi bimbingan kepada pemain,” jelasnya.
Sementara itu, Datuk Dollah Salleh menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama membimbing dan melahirkan pemain pelapis yang berpotensi.
“Sebagai bekas pemain bola sepak kebangsaan dan jurulatih, saya sentiasa berminat melihat perkembangan bakat-bakat muda ini. Kita ketandusan pemain pelapis, dan saya mahu membantu mencungkil bakat baharu yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Bila saya dipelawa menjadi ikon, saya terus bersetuju kerana program ini bukan sahaja serius, tetapi juga mendapat sambutan yang amat baik. Saya akan membantu mengenal pasti pemain berbakat dan membimbing mereka supaya dapat beraksi di peringkat lebih tinggi,” ujar pengurus pasukan Sri Pahang itu.
Tambah Dollah, bola sepak bukan sahaja meningkatkan kecergasan fizikal, malah membentuk kemahiran komunikasi, disiplin, kepimpinan, dan pengurusan emosi.
“Melalui bola sepak, anak-anak dapat meningkatkan keyakinan diri, memupuk semangat kesukanan, dan membentuk asas kejayaan masa depan. Aktiviti ini juga membantu melahirkan individu yang seimbang dan berdaya saing,” katanya.
Glocal Football Academy komited untuk menjadi platform terbaik dalam mencungkil bakat bola sepak kanak-kanak, khususnya mereka yang tidak mempunyai akses kepada fasiliti yang mencukupi. Akademi ini turut memberi penekanan kepada pembangunan sahsiah dan kemahiran insaniah bagi memastikan keseimbangan antara pendidikan dan sukan.
Dengan lapan jurulatih berpengalaman, akademi ini kini melatih lebih 80 kanak-kanak berusia bawah 12 tahun. Kanak-kanak yang berminat menyertai akademi ini dikenakan yuran penyertaan sebanyak RM150, termasuk jersi, botol air, dan sebulan latihan percuma. Yuran bulanan adalah RM100 dengan sesi latihan diadakan empat kali sebulan, setiap hari Sabtu dari jam 3 hingga 4.30 petang di Brainy Bunch Sports Park, Taman Melawati.
Bagi ibu bapa yang berminat, boleh menghubungi Puan Fairuza di talian 018-2456017.
Dengan visi yang jelas dan usaha berterusan, Glocal Football Academy dilihat berpotensi besar sebagai batu loncatan kepada kanak-kanak untuk mengejar impian mereka dalam dunia bola sepak, sekali gus melahirkan lebih ramai bakat tempatan yang cemerlang di masa hadapan.
#iKon #Bola Sepak #Pelapis #Datuk Dollah Salleh #Glocal Football Club
;