Hiburan
"Kita Para Ibu Manusia Kuat..." - Misha Omar Lahir Rasa Syukur, Anak Dah Boleh Keluar Hospital
Penyanyi Misha Omar melahirkan rasa syukur apabila anaknya, Muhammad Idris Ezzwa sudah dibenarkan keluar dari hospital.
Menurut Misha, Idris positif influenza A dan terpaksa dikuarantin selama lima hari.
"What a way to start a new year, a new age in 2020!!
"Alhamdulillah, anak saya Muhammad Idris Ezzwa dibebaskan dari hospital semalam setelah bertahan dan bertarung dengan influenza A selama lima hari empat malam.
"Terima kasih buat Datuk Dr. Musa dan sepasukan bidadari yang sangat baik hati dan penyayang menjaga anak saya selama kami berada di hospital.
"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih buat kalian, kawan-kawan Kak Mitch di Instagram yang mendoakan kesihatan Idris.
"Mudah-mudahan Idris cepat sembuh, pulih seperti sediakala setelah menghabiskan ubat-ubatan yang dibekalkan oleh doktor dan meneruskan persekolahan tidak lama lagi," tulisnya.
Misha berkongsi hal tersebut menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.
Dalam pada itu, pelantun lagu Sampai Bila itu berpesan kepada golongan ibu bapa supaya lebih berwaspada dengan virus yang sedang merebak sekarang.
"Kepada ibu-ibu yg berada di luar sana, sama-samalah kita menjaga dan mengambil tahu apakah yang boleh dilakukan untuk mengelakkan jangkitan kepada anak-anak kita.
"Kepada ibu-ibu yang sedang menjaga anak-anak yang senasib dengan Idris, Kak Mitch doakan semoga kalian terus bersemangat, dilindungi kesihatannya dan kuat untuk menjaga anak-anak yg sedang sakit.
"Kita para ibu, manusia kuat, punya jiwa yang kuat teruslah bertahan okay," tulisnya lagi.
Terdahulu pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-38, Misha memaklumkan bahawa Idris mengalami demam panas.
Misha mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Firros Ezzwan Rosly pada 2 Mei 2014.
Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan cahaya mata, Muhammad Idris Ezzwa yang kini menginjak usia empat tahun.
Must-Watch Video