“Kita Perlu Bantu Kita” - Rina Harun Sokong Kempen Bendera Putih!
01/07/2021 13:19 MYT
Kempen mengibar bendera putih untuk bantuan terhadap individu terjejas akibat pandemik Covid-19 turut disokong penuh Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun.
Menurut Rina, beliau mengalu-alukan kempen tersebut yang dilihat dapat menanam serta mendidik sikap perihatin masyarakat terhadap individu lain.
"Kita kini sedang berperang dan tiada cara lain selain kita perlu bantu kita,” katanya.
Jelasnya, segelintir individu mungkin tercicir daripada 1.5 juta bantuan bakul makanan yang telah memanfaatkan enam juta isi rumah, sedangkan rakyat Malaysia adalah 32 juta orang.
"Mungkin sewaktu kita beri (bakul makanan) itu dia masih bekerja.
“Berkemungkinan dalam seminggu lepas itu dia diberhentikan kerja atau suami meninggal kerana Covid-19, itu kita tidak tahu," katanya.
Sekadar info, kempen bendera putih dimulakan warganet bagi membantu golongan memerlukan dengan mengibarkannya di halaman rumah sekiranya tiada makanan dan memerlukan bantuan.
Tanda pagar #RakyatJagaRakyat termasuk #BenderaPutih juga trending di Twitter berikutan ramai terpanggil untuk sama-sama menyebarkan kempen tersebut agar sampai kepada golongan sasaran.
Sumber : Sinar Harian