Penyanyi dan rapper, Chubb-E membuka tirai 2021 dengan sebuah single duet bersama Amir Masdi berjudul Biru Malam.

Menariknya, lagu terbitan syarikat rakaman Future Music Entertainment itu adalah ciptaan sepenuhnya Chubb-E yang menggambungkan eleman Hip Hop dan Balada Rock.

Menurut Chubb-E, lagu itu adalah eksperimen dalam kerjaya seni, terutamanya dalam bidang penciptaan lagu selain mengetengahkan gabungan muzik yang tidak pernah dihasilkan sebelum ini.

“Lagu ini adalah ciptaan saya sepenuhnya yang disiapkan pertengahan September tahun lalu. Lagu ini bercerita tentang mengenali diri.

"Kita sebagai manusia kadang tanpa sedar, apa dibuat di dunia ini, sebenarnya ada perkara yang kita tak mahu lakukan, tapi kita buat semata-mata untuk menjaga hati orang lain.

“Disebabkan itu saya memilih tajuk Biru Malam yang mana mengenal diri pada waktu malam. Kita manusia kena ada masa untuk mengenal dan mencari diri semula.

"Tengok apa yang dibuat, apa yang patut dan tak patut kita buat. Kalau boleh lakukan sesuatu perkara itu bukan untuk puaskan hati orang itu, tapi untuk gembirakan diri sendiri. Sayangi diri sendiri dulu barulah fikir orang lain,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan Amir Masdi, Chubb-E berkata, finalis Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35) itu adalah pilihan kedua bagi menggantikan penyanyi asal lagu berkenaan.

“Sejujurnya, lagu ini sudah dirakamkan oleh penyanyi lain. Memang niat saya buat lagu ini untuk mereka sebab mereka minta lagu daripada saya. Malah, ketika menghasilkan lagu ini saya berada dalam fasa sedang mengenali diri. Jadi, ilham lagu ini ikhlas dari hati.

“Namun, disebabkan ada beberapa isu yang timbul, jadi saya terfikir untuk menyanyikan sendiri lagu ini. Apabila saya nyanyi, saya boleh buat lebih lagi. Kebetulan saya memang merancang satu projek khas dengan Amir, disebabkan itu, saya menawarkannya untuk berduet dalam lagu ini.

“Saya anggap apa yang terjadi ada hikmah termasuk pemilihan Amir. Pendek kata Amir adalah pilihan tepat. Sudah lama nak mencari ilham lagu baru bersama Amir, tapi tidak ada idea.

"Kiranya, lagu ini adalah rezeki kami berdua untuk berkolaborasi. Apatah lagi ini juga projek eksperimental daripada saya yang mana memang sudah lama nak buat genre Hip Hop dan Balada Rock,” katanya lagi.

Sementara itu, Amir Masdi, 25, atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi berkata, dia terlebih dahulu sudah mendengar lagu Biru Malam malah mengetahui ia bakal dinyanyikan penyanyi lain.

“Ketika itu saya memang tahu ini projek khas Chubb-E dan akan dinyanyikan oleh penyanyi lain. Cuma, perancangan untuk kami berduet sudah lama, tapi belum ada lagu sesuai.

"Kali pertama saya dengar lagu, saya terus cakap sedap. Saya tanya, kenapa tak nyanyikan sendiri. Dalam masa sama, saya ada bergurau kenapa kami tidak berduet saja untuk lagu ini.

“Saya tidak serius pun sebab sudah tahu ia memang dihasilkan untuk penyanyi lain. Malah, ketika proses rakaman dibuat, kebetulan saya ada di studio, saya dengar dan hayati lagu ini, diakui memang sedap. Itulah sebabnya apabila dapat tawaran lagu ini, saya terus cakap ‘on’ sebab sudah tahu melodi dan lirik," katanya.

Kepada peminat Chubb-E dan Amir, lagu ini sudahpun boleh didengari menerusi kesemua platform digital terpilih termasuk saluran YouTube Future Music Entertainment.