Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Kita Perlu Jadikan BN Pembangkang Berwibawa" - KJ

Kamaruddin Razal
14/05/2018 11:45 MYT
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin tekad untuk bangkit daripada kekalahan partinya, Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk membentuk kem pembangkang yang berwibawa.

Walaupun sedar kekalahan BN kepada Pakatan Harapan (PH) menunjukkan rakyat menolak BN, katanya, rakyat juga mahu BN dilihat sebagai pembangkang yang berintegriti dan bertanggungjawab.

"Penolakan rakyat terhadap BN masih jelas dalam ingatan.

"Tetapi, dalam beberapa minggu akan datang, kita akan memulakan tugas sebagai pembangkang yang berwibawa bagi mengembalikan kepercayaan kepada rakyat," kata bekas Menteri Belia dan Sukan itu dalam satu sidang media Pergerakan Pemuda UMNO di ibu negara, hari ini.

Jelas beliau, pihaknya akan sentiasa menilai dan memastikan kerajaan semasa memenuhi manifesto mereka pada PRU14.

Khairy menambah, proses pemulihan UMNO dan BN bukan sahaja bergantung kepada ahli tetapi mereka yang menang kerusi pada PRU14 juga.

"Kita mempunyai 78 Ahli Parlimen. Kita perlu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat setelah mereka memilih kita," ujar beliau.

Beliau turut mengharapkan dasar-dasar kerajaan sebelum ini dikaji secara objektif.

Pada PRU14 minggu lalu, Khairy memenangi kerusi Parlimen Rembau yang disandangnya sejak 2008 dengan majoriti 18,357 undi.

Sumber: Astro Awani
Susunan: Kamaruddin Razal
Foto: Google
#Khairy Jamaluddin #PRU14
;