Pengacara dan bekas penyampai radio Ikhwan mengagumi rakan artis yang sentiasa bijak dalam mencari alternatif untuk menampung kehidupan.

Tambahan lagi ketika semua sedang bergelut dengan pandemik Covid-19, terutama anak seni yang kehilangan mata pencarian dan pendapatan sementara.

Bagi Ikhwan, apa yang berlaku sepanjang dua tahun ini merupakan sesuatu yang di luar kebiasaan bukan sahaja dilalui oleh kita tetapi juga masyarakat global yang turut berhadapan dengan situasi yang sama.

“Ini memang meresahkan apabila melihatkan ramai rakan-rakan kita yang terjejas. Ada yang sudah lama merasai kekurangan pendapatan akibat kekurangan pekerjaan dan tak kurang juga yang hilang kerja pada saat genting begini.

“Apa juga situasi yang dilalui, kita perlu reda dan tenang menghadapinya. Kita jangan sesekali putus asa dan perlu terus berusaha untuk meneruskan hidup dengan apa cara sekalipun,” katanya.

Melihatkan apa yang terjadi ketika ini, Ikhwan berharap pandemik ini segera berakhir dan keadaan kembali pulih untuk mereka kembali bekerja seperti dahulu.

“Kita perlu melakukan pelbagai kerja kreatif untuk mencari sumber pendapatan. Pelbagai platform digital telah wujud dan boleh diteroka untuk berniaga, membuat konten menarik atau apa sahaja yang boleh menjana pendapatan sampingan.

“Untuk anak seni pula, mereka mungkin boleh mendapatkan nasihat daripada artis yang sudah berjaya.

“Ramai juga dalam kalangan artis kita yang tidak terjejas memandangkan mereka mempunyai bisnes. Ini yang perlu kita teladani,” katanya yang muncul sebagai pengacara dalam program Bersama Bintang tidak lama lagi.



Tambahnya, program yang disiarkan secara langsung di dalam Facebook MTV- Multi Talent Venture itu turut mengundang beberapa selebriti popular tanah air yang berkongsi tips dan resipi kejayaan mereka selama ini.

Antara selebriti yang terlibat termasuklah Scha Alyahya, Shuib Sepahtu dan beberapa nama besar yang lain.

Tambah Ikhwan, dia bukan sahaja menemubual artis-artis terlibat secara santai tetapi dalam masa yang sama mahu mencungkil resipi kejayaan untuk membina bisnes bagi tatapan penonton yang dahagakan ilmu berguna buat mereka.

Menariknya, penonton bukan sahaja boleh mendapatkan input baharu tetapi dalam masa yang sama berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah semua program berlangsung.